utama

Ada mesej tersirat

Oleh Georgie Joseph

Kesungguhan dua penyanyi kelahiran Sabah ini sememangnya tidak pernah ada penghujung.

Perjuangan mereka dalam bidang muzik terus berkobar-kobar bagi membuktikan kehadiran mereka bukan sekadar tempelan.

Terbaru, Marsha Milan Londoh dan Velvet Aduk bekerjasama untuk sebuah lagu dialek Sabah berjudul Sumandak Sabah.

Bukan sekadar melunaskan impian lama untuk berduet, mereka sebenarnya ada misi besar.

Misi mereka adalah untuk tampil memperkasakan wanita menerusi muzik. Mereka mahu mewakili wanita untuk misi berkenaan dalam segenap sudut.

Menurut Marsha, 33, Sumandak Sabah adalah lagu pertama untuk misi berkenaan dan mereka merancang tampil dengan banyak lagi lagu selepas ini.

“Kami tahu ramai melihatnya sekadar sebuah lagu untuk berseronok dan satu lagi lagu dialek Sabah yang biasa. Bagaimanapun, ada mesej tersirat sebenarnya jika didengar lebih kerap.

“Lagu itu adalah untuk meningkatkan keyakinan setiap wanita supaya menghargai kecantikan dan kelebihan diri, terutama gadis di Sabah.

“Pada mulanya, kami cuma mahu merealisasikan impian berduet yang sekian lama tertangguh. Bagaimanapun, kami sedar tugas kami lebih besar dan mahu berbakti kepada wanita,” katanya.

Mengulas lanjut, Velvet, 31, pula melihat projek berkenaan sebagai satu daripada tanda kebangkitan dan kesungguhannya terus kekal relevan dalam industri muzik.

Walaupun sudah berkeluarga dan menjadi ibu kepada empat cahaya mata bukan penghalangnya mengejar impian sebagai penyanyi.

“Apabila kami memulakan projek ini, saya dan Marsha mendapat idea yang lebih berpandangan jauh daripada sekadar buat lagu. Saya sendiri melihat peluang itu sebagai batu loncatan untuk menyampaikan mesej penting.

“Banyak yang kami boleh sampaikan sebenarnya berdasarkan pengalaman sendiri. Saya sendiri masih bekerja keras untuk kukuhkan kerjaya nyanyian walaupun sudah berkeluarga,” katanya.

Mendapat sentuhan daripada suaminya, Rich, mereka mengakui kualiti tetap menjadi keutamaan walaupun lagu itu kedengaran santai.

“Kalau ikutkan, melodi lagu berkenaan memang tidak lari daripada kebanyakan lagu dialek tempatan di Sabah. Namun, ternyata ia bukan lagu yang mudah dinyanyikan disebabkan kami menitikberatkan vokal untuknya.

“Begitu juga dengan susunan muziknya memang kami pastikan ia sangat berkualiti. Syukur, walaupun ramai tidak faham sesetengah liriknya, ia mula menarik perhatian pendengar di Semenanjung pula.

“Memang tidak sangka apabila melihat jumlah tontonannya di YouTube disebabkan awalnya kami cuma menyerahkan kepada takdir jika ia diterima baik. Rupa-rupanya, penerimaannya luar biasa dan jumlah tontonan meningkat secara organik,” katanya.

Velvet sudah ada album

Dalam pada itu, Velvet mengakui dia tidak pernah menyepi daripada arena nyanyian bahkan sudah tampil dengan album penuh menggunakan judul namanya sendiri.

“Saya tidak pernah melupakan cinta terhadap bidang muzik. Hakikatnya, semangat saya untuk terus menjadi penyanyi tidak pernah pudar pun, jauh sekali mahu menyepi diri.

“Demi membuktikan kepada diri sendiri, saya turut melancarkan album penuh pada awal Mei lalu yang kebanyakan proses pemasaran dilakukan di Sabah. Album itu sangat bermakna disebabkan ia semua hasil tulisan saya.

“Sebelum ini, saya tidak berani tampil dengan lagu sendiri disebabkan kurang keyakinan dan risau terhadap penerimaan. Namun, saya beranikan diri akhirnya selepas lama menunggu demi membuktikan kemampuan diri serta hadiah untuk peminat,” katanya.

Velvet turut mengakui suaminya tidak pernah melarang untuk aktif dalam bidang nyanyian sejak melahirkan empat cahaya mata.

Sebaliknya dia mengakui kesibukan menjadi ibu serta kerjaya sebagai penyampai radio di Sabah mengekangnya aktif menyanyi.

“Rich tidak pernah pun menghalang atau mengongkong saya meneruskan kerjaya nyanyian. Bahkan, sehingga sekarang dia menjadi penyokong utama serta sentiasa memberi galakan untuk saya terus menyanyi.

“Cumanya tanggung jawab sebagai seorang ibu kepada empat cahaya mata sangat penting buat saya. Selain itu, saya juga ada kerjaya tetap sebagai penyampai radio di Kota Kinabalu menyebabkan kesibukan saya berganda,” kata bekas peserta Akademi Fantasia 4 (AF4) itu.

Disebabkan penerimaan luar biasa terhadap Sumandak Sabah di seluruh negara ternyata memberi semangat baru buatnya kembali mewarnai industri arus perdana.

“Saya dan Marsha sebenarnya tidak menjangkakan penerimaan luar biasa begitu. Niat asal adalah kami serahkan pada takdir saja kalau ia akan meninggalkan impak atau tidak.

“Berikutan penerimaannya, saya sanggup ke Kuala Lumpur bagi sesi promosi lagu berkenaan. Inilah pengorbanan saya terhadap kerjaya muzik walaupun terpaksa berjauhan seketika dengan anak,” katanya.

Velvet dan Rich mendirikan rumah tangga pada 2008, dikurniakan empat cahaya mata iaitu Joshia, 9, Caroline, 7, Keanu, 4, dan Denika, 1.

Disiarkan pada: July 26, 2018 @ 9:01am
d