utama

Hobi pelik bukan gila

Oleh Nazdy Harun

Kuala Berang: Biarpun digelar pelik, seseorang lelaki tetap memekakkan telinga menghiasi sekitar halaman rumahnya dengan mempamerkan televisyen, kipas, komputer dan jam dinding yang rosak di Kampung Paloh Nyiur, di sini.

Abdul Manat Ibrahim, 57, berkata, dia juga pernah diejek gila oleh orang yang tidak mengenalinya disebabkan kegemaran menghias rumah dan laman dengan barangan buangan begitu.

Bekas anggota tentera itu berkata, hobinya bermula sejak 18 tahun lalu selepas dia melihat keunikan kipas, televisyen dan jam sebagai hiasan di halaman rumah.

“Hingga kini lebih 16 unit kipas, 12 unit televisyen, 10 jam dinding dan empat komputer, selain barang buangan lain menghiasi perkarangan rumah dan semua barangan ini diberikan kenalan yang tahu minat saya.

“Tidak dinafikan pada mulanya ramai yang menuduh saya gila dan ‘masuk air’, namun selepas mereka mengenali saya dan memahami minat ini, kata-kata seperti itu sudah tidak diungkapkan lagi.

“Setiap manusia ada hobi tersendiri, sama juga dengan saya. Namun, hobi yang pelik ini mengundang kata-kata tohmahan oleh masyarakat yang tidak mengenali saya,” katanya ketika ditemui.

Isterinya, Senah Ismail, 56, pernah menghalang hobi Abdul Manat berikutan tidak tahan dengan cacian diterima, namun lama- kelamaan isterinya akur dan menyokong usahanya mengindahkan rumah mereka.

Abdul Manat bersyukur kerana enam anaknya berusia 20 hingga 36 tahun tidak menghalang minatnya itu, malah kini hobinya dikongsi bersama mereka yang cintakan seni dan barangan lama.

“Ramai juga yang memberhentikan kenderaan untuk mengambil gambar di sini, dan saya tidak pernah melarang mereka berbuat demikian. Saya tidak simpan dalam hati mereka yang mencaci saya kerana hobi ini,” katanya.

Katanya, melihat barangan dipamerkan di rumahnya itu mampu menghilangkan tekanan seharian dan dia akan tetap dengan hobinya itu walaupun dipandang serong.

Disiarkan pada: July 26, 2018 @ 9:42am
d