utama

Tak tunggu lama-lama

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Tempoh tiga bulan menjalin hubungan cinta bukan penghalang buat pasangan penyanyi Awi Rafael dan Atikah Suhaime mengikat tali pertunangan pada 17 Mac lalu.

Malah, atas dasar cinta dan ingin membawa hubungan diberkati Allah SWT, pasangan kelahiran Singapura itu mengambil keputusan bernikah pada 17 Mac tahun depan.

Menurut Awi atau nama sebenarnya Muhammad Namawi Ewan Gunawan Rafael, selepas melalui pengalaman putus cinta beberapa kali, dia yakin Atikah jodoh terbaik untuknya.

Disebabkan itu, Awi yang pernah popular menerusi lagu Pulanglah tidak mahu menunggu lama sebaliknya terus melamar Atikah untuk menjadi suri hatinya.

“Allah sudah merancang segalanya. Mungkin ini waktu terbaik untuk saya mengakhiri zaman solo. Sepanjang tempoh berehat dari industri muzik baru-baru ini, Allah pertemukan saya dengan Atikah.

“Selepas tiga bulan bercinta, saya memberanikan diri untuk melamar. Saya cakap, kalau betul-betul nak lebih baik bertunang dan kahwin. Saya pula memang serius dan bersedia ke fasa seterusnya.

“Saya juga tidak menyangka lamaran itu disambut baik. Malah, Atikah teruja kerana sama sekali tidak terfikir saya akan mengambil keputusan secepat ini. Lagipun, ini yang dituntut dalam Islam iaitu menyegerakan perkara baik,” katanya.

Ditanya mengenai kehidupan selepas bertunang, Awi berkata, dia bersyukur kerana segalanya dipermudahkan apatah lagi dipertemukan dengan Atikah yang begitu memahami.

“Atikah seorang yang matang. Dia juga sudah melalui banyak pengalaman hidup. Alhamdulillah, setakat ini Allah permudahkan. Bagi saya, perkara paling penting adalah komunikasi,” katanya.

Dalam perkembangan terbaru, Awi baru melancarkan video muzik lagu Ini Semua Dunia.

Lagu yang dilancarkan sejak 25 Mei itu antara yang bakal dimuatkan dalam album ketiga Awi berjudul, Euforia.

“Lagu ini bukan ditujukan untuk sesiapa, sebaliknya ia untuk diri sendiri. Kalau dahulu, selepas mendapat apa yang diinginkan, pasti kita nak lebih lagi. Seolah-olah tidak bersyukur dengan apa yang ada. Jadi, saya terfikir adakah hidup ini berjuang untuk perkara dunia semata-mata?

“Kalau dihayati lirik lagu ini, ia adalah usaha kecil saya dalam berdakwah. Saya mahu mengingatkan kepada semua bahawa dunia hanya sementara dan segala yang berada atas dunia tidak kekal selamanya.

“Pada masa sama, saya ingin meningkatkan kesedaran dalam diri semua orang. Dalam erti kata lain, apa yang disampaikan dalam lagu ini adalah proses saya ke arah diri dan kehidupan lebih baik,” katanya.

Bagi Atikah pula, dia menyifatkan Awi adalah jodoh depan mata yang tidak disedari selama ini.

“Saya sudah lama mengenali Awi, tetapi kami tidak rapat. Selama ini, kalau saya ada masalah, Awi akan muncul. Saya pun tak tahu macam mana naluri dia boleh berasakan perkara itu.

“Jadi, apabila kami rapat, tidak menjangka pula hubungan kami boleh pergi sejauh ini.

“Kalau ikutkan saya nak percepatkan majlis nikah, tetapi memandangkan ada ramai anggota keluarga, kami perlu merancang majlis yang sempurna. Disebabkan itu, kami sepakat memilih 17 Mac tahun depan iaitu dua hari selepas hari jadi saya,” katanya.

Atikah yang juga pelakon drama Klik! Pengantin Musim Salju mengakui sikap bertanggungjawab yang ditunjukkan Awi menguatkan keyakinannya untuk menerima penyanyi itu sebagai suami.

“Semua orang sukakan dia, sebab dia baik hati. Malah, perkara yang membuatkan saya tersentuh apabila melihat cara dia menjaga ibunya yang sakit.

“Sebelum mengenalinya dengan lebih rapat, saya tidak pernah tahu kisah peribadinya. Selepas itu, baru saya tahu apa yang dilalui. Apa yang boleh dikatakan, dia seorang anak yang bertanggungjawab,” katanya.

Disiarkan pada: July 27, 2018 @ 6:30am
d