utama

Ola Bola pembuka 'tingkap'

Oleh Rudy Imran Shamsudin

Pembabitannya dalam industri perfileman tempatan masih baru, namun bakatnya sudah mula dipandang penggiat filem bukan saja di sini, tetapi juga di Indonesia.

Bukan calang-calang yang mengenali bakat dimiliki Luqman Hafidz ini. Antaranya ialah pelakon legenda Indonesia, Christine Hakim dan pemenang Anugerah Citra, Pengarah Terbaik, Hanung Bramantyo.

Ketika dimaklumkan dua insan seni disegani dari negara seberang itu mengenali diri dan bakatnya membuatkan Luqman sangat terharu.

“Saya tahu mengenai perkara itu menerusi syarikat pengurusan, Mind Order Management. Sudah tentu sebagai pelakon yang masih baru dan mentah, saya sangat terharu dan memang tak sangka,” katanya.

Luqman berkata, dia juga sangat berterima kasih kepada Christine dan Hanung yang turut hadir menyaksikan persembahannya dalam teater muzikal Ola Bola yang dipentaskan awal tahun ini.

“Saya difahamkan mereka mengenali bakat saya menerusi filem dan teater muzikal Ola Bola. Saya bersyukur Ola Bola membuka tingkap untuk saya pamerkan bakat sekali gus membolehkan penggiat industri di rantau ini melihat hasil kerja saya,” katanya.

Ia juga ibarat mimpi menjadi kenyataan apabila Luqman berpeluang beraksi di samping Christine dalam projek drama premium terbaru yang bakal diterbitkan Astro First iaitu Sepenggal Puisi.

“Ia masih dalam peringkat praproduksi, tetapi saya difahamkan selain Christine, turut membintangi drama bersiri itu ialah Lisa Surihani dan Erma Fatima.

“Saya berbesar hati kerana diberi peluang menyerlahkan bakat di samping menimba pengalaman dengan mereka yang mempunyai ilmu tinggi dalam bidang lakonan.

“Dulu saya tak terfikir pun akan menjadi pelakon di Malaysia dan sekarang berpeluang berlakon dengan pelakon terkenal dari Indonesia. Inilah yang dinamakan rezeki. Allah memberikan rezeki dengan pelbagai cara dan sudah pasti saya akan gunakan peluang ini sebaik mungkin,” katanya.

Selain Sepenggal Puisi, Luqman turut terbabit dalam drama bersiri premium terbitan Astro First yang dihasilkan secara usaha sama antara Malaysia dan Indonesia iaitu Sembilan.

Drama arahan bersama Razaisyam Rashid dan Awi Suryadi itu turut menggabungkan pelakon terkenal Indonesia seperti Atiqah Hasiholan, Endhita, Haydar Salishz, Bima Azruel dan pelakon veteran Roy Marten.

Pelakon tempatan pula selain Luqman, Sembilan turut dibintangi Beto Kusyairy, Amirul Afendi, Aman Graseka dan Azhan Rani.

Menurut pelakon kelahiran Ampang, Kuala Lumpur ini, ia adalah drama premium pertama dan genre seram yang betul-betul seram dibintanginya.

“Sebelum ini saya pernah juga berlakon drama seram tetapi konsepnya komedi. Pembikinannya juga agak teliti terutama dari segi solekan khas. Ia mencabar kerana saya juga perlu bercakap dalam bahasa masyarakat di Kalimantan.

“Pengalaman bekerja dengan pelakon Indonesia sama saja. Kami banyak mengadakan latihan sebelum penggambaran dimulakan.

“Bagaimanapun, bagi memastikan persembahan lebih baik, kami akan berbincang bagaimana hendak melakukan babak terbabit.

“Saya bersyukur sepanjang terbabit dalam penggambaran Sembilan banyak yang saya dapat dipelajari. Apabila bekerja dengan pelakon hebat ini, saya cuba hilangkan rasa gementar dengan memerhatikan cara kerja dan corak persembahan mereka. Saya juga banyak berbual mengenai lakonan dengan Beto dan Azhan supaya saya lebih faham,” katanya.

Jangan Benci Cintaku papar realiti

Apabila drama Jangan Benci Cintaku yang sedang ditayangkan di slot Akasia, TV3 mula menjadi sebutan gara-gara watak Husna lakonan Niena Baharun dan Nek Pah (Azizah Mahzan), tempiasnya turut dirasai semua pelakon dama itu termasuk Luqman.

Bercerita mengenai drama itu yang mula menjadi fenomena, Luqman berkata, ia menjadi tular dan ‘trending’ kerana jalan ceritanya yang berbeza.

“Drama itu menonjolkan realiti masalah dalam masyarakat kita yang mengambil mudah dan tutup mata terhadap isu yang berlaku. Bagaimanapun, ia tidak menyalahkan lelaki ataupun wanita.

“Dalam drama ini juga ia tidak menunjukkan dengan jelas siapa yang salah sebaliknya semua watak utamanya terperangkap dalam situasi,” katanya.

Menurut Luqman, dia gembira kerana watak Fariz dilakonkannya iaitu kawan baik kepada watak utama, Shahrizal Hayrat lakonan Saharul Ridzwan memberi impak yang menunjukkan bagaimana orang keliling boleh mempengaruhi dan menentukan jalan hidup seseorang.

Bercerita mengenai pengalamannya berlakon dalam drama itu, Luqman berkata, ini kali pertama dia bekerja di bawah arahan Pali Yahaya.

“Ketika mula-mula mendapat skrip, saya fikirkan cara untuk menarik perhatian umum yang menonton drama ini nanti.

“Jadi, bagi memberi tarikan, saya menambah elemen watak Hindustan dalam watak saya. Dalam novel dan skrip watak

saya tidak begitu. Mewujudkan elemen Hindustan itu saya fikir ia boleh dikaitkan dengan ramai orang.

“Alhamdullilah, apabila idea ini saya ketengahkan kepada pengarah, dia setuju. Cuma waktu itu dia

sudah tegaskan kepada saya ia perlu dilakukan secara konsisten kerana skrip sudah ditulis awal. Jadi saya teliti setiap babak saya dan tengok mana boleh selit, saya selitkan elemen itu,” katanya.

Menurut Luqman lagi, dia seronok bekerja dengan Pali dan menyifatkan produksi Jangan Benci Cintaku antara yang terbaik.

Mereka bekerja dengan penuh disiplin dan tidak banyak masalah timbul. Dia percaya perkara itu juga menjadi antara resipi kejayaan drama itu diminati.

Disiarkan pada: July 28, 2018 @ 7:57am
d