utama

Jamaliah runner gas

Oleh Junaidi Ladjana

Putatan: Bukan hanya membeli makanan dan barang keperluan harian, malah kerja yang sering dilakukan golongan lelaki seperti mengangkat dan menukar tong gas turut dilaksanakannya.

Itulah yang dilakukan Jamaliah Usin, 30, yang menjadikan kerja sebagai tukang penghantar barang atau runner sebagai sumber pendapatan untuk membantu suami menyara kehidupan seharian bersama tiga anak mereka.

Jamaliah berkata, tiada apa yang hendak dimalukan bekerja sebagai runner yang dilakukannya sejak tiga bulan lalu walaupun kebanyakannya dilakukan lelaki.

“Saya mahu membantu suami Azmain Najir, 42, yang bekerja di kedai menjual perkakasan. Suami menanggung semua perbelanjaan harian saya dan tiga anak kami termasuk sewa rumah.

“Jadi, saya ambil keputusan mencari kerja bagi membantu suami dan pada masa sama tanpa mengabaikan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu,” katanya ditemui di rumahnya di penempatan atas air di Taman Pasir Putih, Putatan, di sini.

Jamaliah berkata, segalanya bermula apabila dia melihat di Facebook mengenai seorang lelaki bekerja sebagai runner dan tanpa fikir panjang, dia menyatakan hasrat itu kepada suami.

Katanya, walaupun pada mulanya dia keberatan kerana faktor keselamatan, namun saya beritahu kerja ini tidak terikat dengan mana-mana pihak dan dilakukan secara separuh masa sebelum suami bersetuju.

Menurutnya, dia bertugas dari jam 4.30 petang hingga 12 tengah malam pada Isnin hingga Sabtu, manakala Ahad bermula 1 tengah hari hingga 12 tengah malam bergantung tempahan.

“Upah setiap penghantaran ialah RM10, membabitkan khidmat beli barang di pasar raya, makanan, sayur, ikan, daging dah lain-lain. Bagi membeli dan menukar tong gas, upah RM15 dikenakan.

“Khidmat runner saya lakukan di sekitar Putatan, Petagas, Ketiau, Meruntum dan Kinarut. Jika hujan atau kepenatan, anak sulung akan membantu,” katanya.

Di awal kerja sebagai runner, Jamaliah berkata, sambutan kurang kerana sebagai wanita, pelanggan tidak yakin dia boleh melakukan tugas itu, lebih-lebih lagi mengangkat tong gas hingga ke tingkat tiga dan empat pangsapuri di Putatan.

“Namun saya tidak terasa hati, malah terus berusaha membuktikan saya boleh lakukannya. Hasilnya pelanggan begitu terkejut dan bangga dengan apa yang saya lakukan,” katanya mengakui pada mulanya menyembunyikan identiti kerana bimbang tiada tempahan jika pelanggan tahu dia wanita.

Disiarkan pada: July 28, 2018 @ 8:33am
d