utama

Makan nasi berkuah budu

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Seorang warga emas terpaksa mengharapkan simpati orang ramai untuk meneruskan kelangsungan hidup berikutan menderita penyakit asma dan gastrik kronik sejak beberapa tahun lalu.

Lebih menyedihkan, Mohd Noor Yaacob, 66, kini hidup sebatang kara selepas berpisah dengan isterinya sejak empat tahun lalu.

Mohd Noor berkata, sebelum ini dia mengambil upah RM10 sehari menjual ikan di pasar untuk menyara hidup.

Bagaimanapun, berikutan penyakit asma dan gastrik dihidap, dia berhenti kerja dan hanya mengharapkan bantuan bulanan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Bantuan itu digunakan untuk membayar sewa rumah, bil elektrik dan perbelanjaan harian. Kadangkala apabila hanya memiliki beberapa ringgit, saya hanya makan nasi berkuahkan budu atau kicap.

“Mujurlah, ada penduduk yang tinggal di kawasan sekitar banyak membantu meringankan beban saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Wakaf Mek Zainab di sini, baru-baru ini.

Menceritakan kisah hidupnya, bapa kepada empat anak itu berkata, selepas berpisah dengan isterinya, dia pernah menjadikan kandang kambing sebagai pondok untuk tidur dan berehat selama beberapa hari.

“Penduduk kampung yang kasihan mengajak saya tinggal bersamanya hampir dua minggu sebelum menyewa rumah.

“Biarpun rumah yang didiami serba kekurangan, namun saya selesa tinggal di sini kerana tidak perlu menyusahkan sesiapa,” katanya.

Katanya, bagi mengubati kesepian, dua anak perempuannya berusia 12 dan 14 tahun sering datang menjenguknya di rumah selepas pulang dari sekolah untuk memberi makan.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana masih ada anak mengambil tahu keadaan saya walaupun kami tidak tinggal bersama,” katanya.

Disiarkan pada: July 28, 2018 @ 8:38am
d