utama

Guru wanita 'bermandi' darah

Oleh Rosli Ilham

GURU wanita berlumuran darah selepas kepalanya dipukul dengan batu bata oleh seorang lelaki di rumahnya di Taman Rakyat, dekat Dungun, malam kelmarin.

Guru wanita berusia 35 tahun itu terpaksa dikejarkan ke Hospital Dungun, sebelum menerima beberapa jahitan di belakang kepala.

Sebelum kejadian, mangsa dikatakan keluar dari rumahnya untuk mengambil barang di dalam keretanya, jam 10.30 malam.

Ketika mengambil barang, suspek dikatakan datang dari arah belakang sebelum bertindak memukul guru terbabit.

Ia menyebabkan mangsa menjerit dan meminta bantuan suaminya.

Suami mangsa berusia 33 tahun yang berada di dalam rumah berlari keluar dan mendapati isterinya berlumuran darah, manakala suspek ketika itu sudah memanjat pagar dan melarikan diri.

Suami mangsa kemudiannya menghantar mangsa ke Hospital Dungun untuk mendapatkan rawatan, sebelum membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Beliau berkata, mangsa mendapat rawatan sebagai pesakit luar dan menerima beberapa jahitan di bahagian kepalanya.

"Siasatan polis mendapati tiada sebarang kehilangan barangan dalam kejadian itu dan mangsa tidak mempunyai sebarang masalah peribadi dengan sesiapa.

"Polis giat mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya ," katanya.

Disiarkan pada: July 28, 2018 @ 3:31pm
d