utama

Tiga PATI lemas, 16 hilang

Oleh Mohd Fahmi Mohd Yusof

TIGA Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditemui lemas, lima selamat dan 16 yang lain dikhuatiri lemas apabila mereka disyaki terjun daripada bot ketika cuba masuk ke negara ini di pantai Tanjung Penyusup, Kota Tinggi, hari ini.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Kapten Martim Sanifah Yusof berkata, kejadian pada awal pagi tadi dipercayai berpunca apabila semua PATI terjun dari bot untuk ke darat.

Katanya, Maritime Rescue Sub Center (MRSC) di sini mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) sejurus menerima laporan daripada orang awam yang terjumpa lima mangsa di pantai Tanjung Penyusup, Kota Tinggi.

"SAR diaktifkan pada 7.15 pagi ini membabitkan agensi penyelamat Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Tentera Darat dengan kekuatan pegawai dan anggota seramai 36 orang.

“Sektor pencarian hari ini seluas kira-kira 11 batu nautika persegi di sepanjang perairan Tanjung Penyusop, Kota Tinggi," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sanifah berkata, hasil siasatan daripada mangsa terselamat, pihaknya dimaklumkan seramai 24 PATI terjun dari bot dan lapan mangsa sudah ditemui termasuk tiga mangsa meninggal dunia membabitkan dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 35 hingga 45 tahun.

"Mayat pertama ditemui terdampar di pantai Teluk Ramunia pada 11.20 pagi diikuti mayat kedua, 30 minit kemudian dan mayat ketiga pada 12.05 tengah hari.

"Mangsa yang selamat kini berada di Balai Polis Bayu Damai, Pengerang, manakala mayat dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat.

"Kes kini diambil polis untuk menjalankan siasatan mengikut Akta Imigresen," katanya.

Disiarkan pada: July 28, 2018 @ 6:26pm
d