utama

Kaka 'tawan' negara jiran

Oleh Michelle Gun

Sambutan baik terhadap lagunya di Filipina dan Indonesia membuatkan penyanyi Kaka Azraff menyimpan hasrat untuk melebarkan sayap seninya ke dua negara itu.

Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff mengakui terkejut apabila menerima komen positif daripada peminat di Filipina dan Indonesia menerusi media sosial.

Menurut penyanyi berusia 29 tahun itu, single Bukan Hal Aku, Terpulanglah dan Terima Kasih diterima baik pendengar di sana.

“Malah, ada peminat di Indonesia memuat naik video menyanyi semula lagu saya serta membuat ‘mash up’ lagu Bukan Hal Aku dan single baru Sibuk dalam media sosial.

“Sambutannya di luar jangkaan lebih-lebih lagi di Filipina. Walaupun mereka tidak faham maksud lirik, mereka sukakan melodinya,” kata Kaka.

Memandangkan Kaka bakal membintangi filem terbitan produksi Indonesia, Zharfa The Movie pada September depan, dia berhasrat untuk memperkenalkan lagunya di negara itu.

“Peminat di Indonesia menyuntik semangat saya untuk cuba masuk pasaran negara itu. Tambahan pula, filem Zharfa akan ditayangkan di sana dan juga Malaysia, jadi ia dapat mempromosikan nama saya,” katanya yang juga membintangi drama Inai Yang Hilang di ntv7.

Mengulas lanjut karier lakonan yang semakin mekar berkembang, Kaka berkata dia mengambil keputusan untuk berehata seketika bagi membolehkannya fokus pembikinan album baru.

“Saya sedang menyiapkan album baru yang memuatkan lima lagu baru dan lima single yang sudah diterbitkan.

“Saya minat berlakon tetapi lebih serius dengan muzik. Perasaan saya terhadap dua bidang ini juga berbeza,” katanya.

Jelas Kaka, dia berani menghasilkan album penuh atas permintaan peminat selain mahu melengkapi portfolio enam tahun kembara seninya sebagai penyanyi.

“Sudah lama saya mahu hasilkan album ini dan jika tiada aral ia akan dilancarkan awal tahun depan.

“Ia ambil masa panjang untuk direalisasikan kerana saya mahu mencari material berkualiti, komposer dan produser terbaik.

“Kini saya bernaung di bawah Warner Music yang ada pasukan besar untuk mempromosikan lagu saya kepada umum,” katanya.

Malah, Kaka juga tidak menunggu lama untuk tampil dengan single baru enam bulan lagi selepas Sibuk dilancarkan.

Rebut lagu dengan Alif

Mengenai single Sibuk, Kaka mendedahkan lagu itu asalnya milik bekas anggota kumpulan Sleeq, Alif.

“Memang lagu itu sepatutnya Alif punya tetapi ketika mendengar versi demo, saya tertarik dengan melodinya.

“Alif kemudian menukar fikiran selepas mendengar saya menyanyi lagu ini.

“Dia berasakan lagu ini lebih sesuai dengan vokal dan karakter saya,” katanya yang selesa bekerjasama dengan Alif kerana komposer itu berbakat dan memahami citarasanya.

Belum sedia bercinta

Menyentuh perihal cinta, Kaka berkata, hatinya belum terbuka untuk menerima mana-mana jejaka kerana terlalu sibuk dengan karier.

“Buat masa ini saya selesa begini. Apabila bercinta, kena bagi komitmen.

“Apabila sibuk sepanjang hari, sukar untuk saya menjawab panggilan dan kiriman mesej.

“Tidak adil bagi pasangan kalau saya tidak dapat memberikan perhatian terhadap hubungan kami. Jadi, lebih baik sendiri daripada timbul masalah kemudian hari,” katanya.

Biarpun ada ketikanya dicuit rasa cemburu melihat kebahagiaan rakan-rakan yang sudah mendirikan rumah tangga, Kaka gembira menikmatinya hidupnya.

“Jaga hati pasangan bukan senang, penat sebenarnya. Biarlah saya fokus terhadap keluarga dulu kerana ada tanggungan.

“Lagipun ibu tidak memberi tekanan untuk mencari pasangan hidup. Saya percaya, apabila sampai seru saya pasti bertemu dengan insan yang sudah ditetapkan Ilahi,” katanya.

Disiarkan pada: July 29, 2018 @ 4:38am
d