utama

Kuasai dwibahasa

Oleh Suraya Roslan

Gombak: Selepas kejayaan anak didiknya menguasai bahasa Mandarin di Akademi Tahfiz Mandarin (ATM) di Pulau Ketam, Pelabuhan Klang, beliau kini mengambil inisiatif menubuhkan Akademi Tahfiz dan Kemahiran Bahasa Tamil dan Mandarin (ATIKAH) di Batu Caves, di sini.

ATM ialah institusi pengajian al-Quran yang terletak di tengah-tengah kejiranan masyarakat bukan Islam dikelilingi 8,000 kaum Tionghua di pulau berkenaan berbanding sekolah tahfiz biasanya terletak dalam kawasan komuniti Muslim.

Pengasas ATM, Ustaz Mohammad Ibrahim, 51, berkata, kejayaan itu mendorong pihaknya menubuhkan ATIKAH supaya pelajar tahfiz didikannya mampu bertutur dalam bahasa Tamil pula, selain menguasai al-Quran.

“Amat penting bagi seseorang Muslim itu menguasai bahasa lain kerana ia mampu mengubah persepsi Islamofobia dalam kalangan bukan Islam.

“Sebagai permulaan kami menyasarkan 20 pelajar dengan sesi pembelajaran bermula Ogos ini. Buat permulaan ATIKAH akan beroperasi di Surau Ulul Azmi, Dataran Anak Bukit berdekatan Gua Damai, Batu Caves.

“Kami sangat berharap ATIKAH dapat melahirkan pelajar tahfiz berjaya menguasai al-Quran dan bertutur dalam bahasa Tamil serta Mandarin,” katanya.

Mohammad berkata, kemahiran bertutur dalam kedua-dua bahasa itu juga boleh mewujudkan suasana harmoni berikutan pelajar tidak akan berdepan masalah komunikasi dengan penduduk pelbagai kaum.

Beliau berkata, pihaknya turut menawarkan peluang INFAQ bagi dana pembangunan dan pengurusan ATIKAH yang akan digunakan bagi membangunkan pusat pengajian, membaik pulih bangunan, pengurusan dan pembangunan pusat penginapan dan kos sara diri serta pendidikan pelajar.

Sebarang sumbangan boleh dimasukkan ke akaun bank Maybank 562405625619 (ATIKAH Learning Center) dan makluman lanjut boleh hubungi Mohammad di talian 013-4319717.

Disiarkan pada: July 29, 2018 @ 4:56am
d