utama

'Saya dah buntu'

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Setiap hari dia perlu membayar RM1,800 selama dua tahun kepada 12 along dan syarikat pinjaman berlesen jika mahu bebas daripada bebanan hutang.

Itulah ‘seksaan’ dilalui seorang kakitangan awam akibat membuat pinjaman daripada along bagi memulakan perniagaan kedai runcit.

Lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Raju berusia 33 tahun itu mendakwa konco along turut memaksanya menandatangani dokumen menggadai rumahnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi melunaskan hutang RM200,000.

Raju berkata, dia kini hanya menunggu masa ‘dipotong’ along berkenaan selepas gagal membayar hutang, lebih membimbangkan keselamatan ahli keluarganya yang diancam hampir setiap hari.

“Saya membuat pinjaman dengan along untuk mulakan perniagaan kedai runcit pada 2014 dan pada peringkat awal saya tidak ada masalah buat bayaran mengikut masa ditetapkan.

“Namun, sejak beberapa tahun lalu, perniagaan semakin merudum hingga menyebabkan kedai runcit ditutup seterusnya saya tidak mampu lagi membayar hutang berkenaan,” katanya di Pejabat Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM), di sini, kelmarin.

Menurutnya, dia juga terpaksa membuat pinjaman daripada along lain apabila selepas peminjam pertama mula mengugutnya.

Buntu untuk keluar dari masalah itu Raju turut meminjam daripada saudara-mara dan rakan namun usaha itu tidak banyak membantunya.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, dia menemui beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak tertentu untuk membantunya menyelesaikan masalah along, namun, pihak yang ditemui juga gagal mencari penyelesaian.

Sementara itu, Presiden Rosland Mohd Arif berkata, orang ramai diingatkan tidak berurusan dengan along atau syarikat pinjaman berlesen jika mahu mendapatkan pembiayaan kewangan.

Rosland berkata, kes Raju dianggap serius kerana membabitkan jumlah pinjaman yang tinggi, namun pihaknya berusaha mencari jalan penyelesaian bagi membantu lelaki itu.

Disiarkan pada: July 29, 2018 @ 4:58am
d