utama

'Senjata' untuk tampil berbeza

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Tidak mahu terus dikenali sebagai penyanyi lagu ‘cover version’, Andi Bernadee nekad membuktikan bakat sebenar dalam bidang nyanyian.

Single Semalam Sahur Di Mana yang dilancarkan Ramadan lalu bukti sisi berbeza Andi, 27, atau nama sebenarnya Andi Azrul Andi Mapangile apabila menyanyi sambil rap.

Menurut Andi, latihan selama setahun membolehkan dia terus mengasah bakat sebagai rapper.

“Lagu Sahur Di Mana adalah percubaan pertama saya rap. Alhamdulillah, ia mendapat maklum balas positif. Diakui bukan usaha yang mudah dan saya belajar perlahan-lahan.

“Saya ambil masa setahun untuk memahirkan diri jika ingin serius menyanyikan lagu genre hip hop atau buat rap dalam lagu. Saya tidak mahu asal boleh saja kerana sebagai penyanyi perlu bertanggungjawab dengan karya dinyanyikan.

“Saya bukan mahu bersaing dengan sesiapa, tetapi lebih kepada ingin mengetengahkan bakat. Kalau tidak cuba, kita tidak tahu. Malah, saya yakin ini antara kekuatan yang ada pada diri,” katanya.

Disebabkan itu, peluang diberikan untuk menyertai program realiti Big Stage yang bakal bersiaran 5 Ogos ini akan digunakan sebaik-baiknya dalam menonjolkan bakat sebenar.

Malah, Andi yang dicungkil bakatnya menerusi platform media sosial menjadikan kelebihan boleh rap dalam lagu sebagai ‘senjata’ sekali gus tampil berbeza daripada sembilan peserta lain.

Selain itu, Andi juga berharap dapat memberikan persaingan sihat dalam pertandingan itu menerusi lagu yang diberikan.

“Selain lagu balada, saya juga berharap dapat lagu bahasa asing. Saya memang menunggu peluang sebegini. Kalau dapat, ia adalah cabaran baru dan ingin buktikan saya boleh lakukan,” katanya.

Sedia dikritik

Jika sebelum ini persembahan Andi hanya dikritik netizen, berbeza dalam Big Stage apabila bakal diadili sepenuhnya dua juri profesional iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Faizal Tahir.

“Kedua-dua mereka adalah legenda dan diakui hebat dalam bidang ini. Sejujurnya, saya takut dan gementar menunggu komen daripada mereka. Apatah lagi ini pembabitan pertama saya dalam program realiti.

“Namun, saya sudah bersedia dikritik dari segi nyanyian. Bagi saya, juri lebih telus dan jujur berbanding netizen. Pada masa sama, saya boleh belajar dan memperbaiki diri untuk buat lebih baik,” katanya.

Ditanya mengenai pesaing terdekat dalam program itu, Andi menyifatkan Ariff Bahran, Syafiq Farhain dan Sissy Iman antara yang bakal menyerlah.

Berkongsi mengenai perkembangan terbaru, Andi masih menunggu untuk merakamkan single terbaru yang hampir setahun dirancang.

“Buat masa sekarang belum ada sebarang perancangan merakamkan single baru. Jadi, sementara menunggu saya boleh fokus program ini.

“Namun, apabila program ini berlangsung saya mungkin boleh gunakan kesempatan yang ada untuk mencari material lagu baru. Orang kata, selagi ada yang masih bercakap mengenai program ini, ia peluang terbaik,” katanya.

Jauh di sudut hati, Andi mengakui sedikit terkilan apabila gagal menghasilkan sebarang single selepas tular menerusi lagu nyanyian semula, Tak Tun Tuang.

“Saya ikut saja perancangan syarikat pengurusan. Nak bercakap lebih pun nanti kata saya melawan dan tunjuk bagus pula. Cuma, saya berharap akan ada lagu baru dalam masa terdekat,” katanya.

Disiarkan pada: July 30, 2018 @ 9:15am
d