utama

'Terbang' ke Lombok, sambut jenazah isteri

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

SUAMI kepada pendaki rakyat Malaysia yang maut akibat gempa bumi di Gunung Rinjani, Lombok, Indonesia menaiki penerbangan ke Lombok, hari ini bagi urusan membawa balik jenazah isterinya, Siti Nur Ismawida Ismail, 30.

Bapa mangsa, Ismail Abdul Raffar, 62, berkata, menantunya, Mohd Hafiz Mohd Kassim, 30, menaiki penerbangan ke Lombok kira-kira 8 pagi tadi.

“Saya dimaklumkan oleh menantu bahawa dia menaiki penerbangan ke Lombok berseorangan pagi tadi untuk urusan bawa balik jenazah Siti Nur Ismawida.

“Kami sekeluarga masih menunggu sebarang perkembangan daripada menantu selain memantau laporan media tempatan dan Indonesia bagi mengetahui maklumat lanjut mengenai perkara ini,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Ismail berkata, pihaknya masih belum menerima perkembangan terbaru daripada pihak berkaitan mengenai perkara itu.

“Setakat pagi ini, belum ada perkembangan terbaru yang saya terima mengenai proses bawa balik urusan jenazah daripada mana-mana pihak.

“Ketika ini, kami sekeluarga banyak memantau laporan media tempatan dan Indonesia untuk mengetahui maklumat terbaru mengenai proses berkenaan selain menunggu maklumat daripada menantu,” katanya.

Harian Metro melaporkan seorang pendaki Malaysia maut, manakala enam lain cedera akibat gempa bumi di Gunung Rinjani, Lombok.

Gempa dengan kekuatan 6.4 magnitud itu turut menyebabkan kerosakan di kawasan sekitar dan banyak laluan terputus.

Menurut kenyataan Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika Indonesia (BMKG) gempa terbabit terjadi pada 5.47 pagi dan berpusat 28 km Barat Laut Lombok Timur dengan kedalaman gempa sekitar 10 km.

Tiada amaran Tsunami dikeluarkan.

Menurut laporan BMKG, berlaku 31 gegaran susulan selepas gempa pertama itu sehingga 7.39 pagi semalam.

Gegaran susulan gempa itu di bawah 5 Skala Richter.

Gunung berapi Rinjani di Pulau Lombok yang popular dalam kalangan pelancong dan pendaki juga ditutup kerana dilaporkan berlaku kejadian tanah runtuh.

'Mudahkan urusan bawa balik jenazah isteri saya'

Disiarkan pada: July 30, 2018 @ 10:58am
d