utama

Ajak orang muda berbakti

Oleh Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Meletakkan sasaran supaya lebih ramai anak muda terbabit dalam aktiviti sukarelawan, sekali gus menyumbang khidmat bakti kepada masyarakat.

Itu misi Presiden Dewan Tanggungjawab Sosial Malaysia (CSR), Rizmel Nazrin Abdul Malik, 28, yang menubuhkan satu gerak kerja teratur dalam menyantuni insan lain tanpa mengira perbezaan agama, budaya, bangsa mahupun ideologi politik.

“Ini sememangnya objektif awal saya ketika menubuhkan organisasi bukan kerajaan (NGO) dan ia perlu bersifat bebas daripada sebarang ikatan ideologi politik kerana ini khidmat untuk masyarakat.

“Hasil pemerhatian saya, ramai golongan belia ingin terbabit dalam aktiviti sukarelawan tetapi tidak ada platform yang sesuai.

“Jadi, CSR menawarkan platform yang sesuai untuk mereka dan kita meletakkan golongan belia sebagai kumpulan sasar aktivis sukarelawan.

“Program bantuan kita bukan tertumpu kepada kebajikan seperti membantu orang susah dan sebagainya tetapi turut membabitkan bantuan pendidikan kepada pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Rizmel Nazrin berkata, CSR yang kini mencecah 400 keahlian akan memperluaskan lagi jaringan dengan membuka sekretariat di peringkat semua negeri.

Beliau berkata, gerak kerja bersepadu ini akan lebih memberi kesan dan tidak bertumpu di sekitar kawasan Kuala Lumpur dan Selangor saja sebaliknya membabitkan seluruh negara.

Menurutnya, program menyantuni warga emas, kanak-kanak kurang upaya dan keluarga miskin antara contoh aktiviti rutin CSR.

“Biarpun saya akui mungkin pertolongan kami kecil, namun saya yakin usaha ini mampu meringankan sedikit beban mereka yang memerlukan,” katanya.

Menurutnya, belia perlu melihat platform NGO ini bukan sekadar untuk menyantuni orang yang memerlukan dan memenuhi masa lapang saja, tetapi ia mampu mengasah bakat kepemimpinan.

“Platfrom NGO ini juga boleh dimanfaatkan oleh belia untuk mengasah daya kepeimpinan mereka.

“Saya terbabit dalam program sukarelawan bukan semata-mata kerana minat tetapi ini juga platform yang sesuai untuk kita memperlihatkan keterampilan sebagai pemimpin,” katanya.

Disiarkan pada: July 31, 2018 @ 10:07am
d