utama

Maut bersama adik ipar

Oleh Junaidi Ladjana

PERJALANAN pulang seorang wanita bersama abang iparnya berakhir tragedi apabila mereka maut selepas motosikal ditunggang dirempuh kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 13 Jalan Tenom-Keningau, dekat Tenom, 7.15 malam tadi.

Dalam kejadian itu, pembonceng, Amidah Landau, 44, maut di lokasi kejadian manakala abang iparnya yang menunggang motosikal terbabit, Norsam Asri, 50, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tenom.

Difahamkan, ketika kejadian Norsam dalam perjalanan menghantar adik iparnya pulang ke Kampung Pulong, Tenom, selepas habis bekerja di kilang kelapa sawit di Kilometer 14 Jalan Tenom-Keningau, sebelum motosikal mereka dirempuh kenderaan pacuan empat roda.

Ketua Polis Daerah Tenom, Deputi Superintendan Mohd Firdaus Abdullah berkata, siasatan mendapati motosikal ditunggang Norsam dari arah Jalan Keningau menuju ke Pekan Tenom, manakala kenderaan pacuan empat roda dari arah sama.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan pacuan empat roda terlanggar motosikal terbabit dari arah belakang hingga penunggang dan pembonceng terpelanting ke bahu jalan.

“Susulan kejadian itu, pembonceng meninggal dunia di lokasi kejadian manakala penunggang meninggal dunia di Hospital Tenom ketika mendapatkan rawatan akibat pelbagai kecederaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Firdaus berkata, kira-kira 9 malam tadi, pemandu kenderaan pacuan empat roda berusia 32 tahun hadir ke Balai Polis Tenom dan dia ditahan untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati punca kemalangan dipercayai akibat kecuaian pemandu kenderaan pacuan empat roda yang gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan. “Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987.

“Saksi kejadian diminta tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan,” katanya.

Disiarkan pada: July 31, 2018 @ 1:24pm
d