utama

Penghormatan terakhir [METROTV]

Oleh Fairuz Zaidan

Melaka: Seramai 300 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan wakil Kementerian Kesihatan menghadiri upacara penghormatan terakhir majlis membawa pulang 16 rangka anggota tentera New Zealand (Op Te Auraki) dari Kem Terendak, Sungai Udang di sini, ke Kem Wardieburn, Kuala Lumpur.

Turut memberi penghormatan itu ialah Panglima 10 Briged Brigedier Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Komander Artileri 3 Divisyen Brigedier Jeneral Ahmad Abu Bakar dan wakil dari New Zealand Kapten Kumpulan Carl Nixon.

Upacara itu diadakan sebagai simbolik penghormatan daripada ATM kepada tentera New Zealand yang dikebumikan di Kawasan Perkuburan Perang Komanwel (CWG) Terendak sejak 1964 hingga 1969.

Anggota tentera New Zealand yang dikebumikan di CWG itu termasuk Staf Sarjan G R Grigg, Sarjan R E Fry, Sarjan I L King, Korporal J R Gatenby, Korporal H J Hapeta, Sapper W Toni dan Bombardier R White.

Selain itu, Prebet P W Bonner, Prebet O T Dawson, Prebet D C Frith, Prebet T J Healey, Prebet R Honatana, Prebet K R Hurman, Prebet A W Monk dan Prebet J S Williams.

Upacara istiadat berkenaan diketuai seorang pegawai dan 36 anggota lain-lain pangkat daripada Batalion Ke-8 Rejimen Renjer Diraja (Para).

Disiarkan pada: August 2, 2018 @ 9:52am
d