utama

Beberapa lagi KPD akan ditukar - Mohamad Fuzi

Oleh Nor Azizah Mokhtar

TINDAKAN Bukit Aman menukarkan Ketua Polis Daerah (KPD) Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad dalam tempoh 24 jam, Sabtu lalu adalah kerana kegagalannya menangani kegiatan judi haram di daerah itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, tindakan sedemikian tidak akan terhenti di situ kerana beberapa orang KPD lain akan dikenakan tindakan sama.

“Few more will follow (beberapa lagi akan mengikut jejak itu).

“Saya sudah bagi amaran tentang perkara membabitkan isu judi, bukan sahaja di Gombak, malah di seluruh negara.

“Arahan demi arahan telah dibuat yang membabitkan ketua polis negeri, KPD dan pegawai yang bertanggungjawab, sekiranya mereka tidak comply (mematuhi)...kita terpaksa mengambil tindakan tegas,” katanya pada sidang media, hari ini.

Beliau sebelum itu menghadiri Seminar Polis Diraja Malaysia (PDRM) Mendepani Cabaran Dalam Kepolisan Moden di Maktab PDRM di Cheras, Kuala Lumpur.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dan Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Tan Sri Razali Ismail.

Mohamad Fuzi berkata, tindakan diambil terhadap Ali dan empat lagi pegawai kanannya itu diharap menjadi pengajaran kepada pegawai kanan PDRM lain.

“Kita terpaksa mengambil satu-satu tindakan tegas supaya mereka (pegawai kanan PDRM) yang berada di daerah lain tidak melakukan tindakan serupa.

“Kalau mereka masih membiarkan keadaan ini (kegiatan judi haram) berleluasa, kita akan mengambil tindakan serupa,” jelas beliau.

Mohamad Fuzi berkata, kegagalan melaksanakan tugas seperti diharapkan terutama dalam menangani isu kegiatan judi haram menjadi antara sebab pegawai kanannya dikenakan tindakan pertukaran itu.

Susulan itu, katanya, beliau bersama Noor Rashid serta kepemimpinan tinggi PDRM lain akan mengadakan satu pertemuan khas dengan 157 KPD daripada seluruh negara pada Isnin ini, khusus untuk membincangkan isu berkenaan.

Isnin lalu, akhbar Harian Metro melaporkan Ali dan empat lagi pegawai kanannya ditukarkan serta-merta susulan serbuan diketuai Mohamad Fuzi di pusat judi di Rawang, Jumaat lalu.

Arahan pertukaran Ali disahkan menerusi satu siaran media dikeluarkan Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara Komunikasi Korporat PDRM, Datuk Asmawati Ahmad pada 6.30 petang Sabtu lalu.

Dalam kenyataan itu, Ali dipindahkan ke PULAPOL Air Hitam sebagai Komandan manakala bekas komandan PULAPOL itu, Asisten Komisioner Samsor Maarof dilantik sebagai KPD Gombak yang baharu.

Sumber memberitahu, selain KPD, Timbalan KPD, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (KBSJD), Pegawai Risikan Operasi Daerah dan Ketua Balai Polis Rawang turut ditukar serta-merta pada tarikh berkenaan.

Disiarkan pada: August 2, 2018 @ 2:53pm
d