utama

Shamsul Ghau Ghau ajar al-Quran

Oleh Amirul Haswendy Ashari

PELAKON, Shamsul Ghau Ghau kini aktif sebagai guru al-Quran selepas menjadi artis pertama menerima pentauliahan mengajar kitab itu daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada Mac lalu.

"Pada masa ini, saya mengajar al-Quran kepada pelajar lelaki sahaja yang terdiri daripada golongan dewasa berumur 50-an kerana tidak mahu mengundang fitnah.

"Apatah lagi saya mengajar mereka secara perseorangan di sebuah bilik pejabat yang disumbangkan oleh seorang sahabat di Bandar Baru Bangi," katanya.

Shamsul atau Shamsul Azahar Aliddin, 50, ditemui di set penggambaran drama komedi Budak Usin arahan Shahrulezad Mohammed, berkata setakat ini dia sudah menerima hampir 10 orang pelajar.

Dia pernah menganggotai kumpulan Senario, mengakui kebanyakan pelajar malu untuk mengaji secara beramai-ramai dan selesa secara perseorangan kerana faktor umur.

Katanya, situasi itu perkara biasa kerana apabila terlalu lama tidak membaca kitab suci itu, pembaca akan berdepan kesukaran untuk membacanya dengan lancar.

"Kalau setahun tidak baca memang boleh gagap, jadi kenalah baca selalu.

"Ada beberapa rakan selebriti berminat menyertai kelas saya tetapi mungkin mereka masih sibuk dengan aktiviti penggambaran dan persembahan," katanya.

Katanya ilmu agama seperti ini tidak boleh dipaksa kerana asalkan mereka sudah terbuka hati untuk ke belajar, ia satu rahmat besar.

Shamsul cuma berharap lebih ramai terbuka hati untuk kembali mempelajari ilmu al-Quran kerana ia adalah bekalan untuk akhirat.

Disiarkan pada: August 2, 2018 @ 4:38pm
d