utama

Tetap laris selepas 6 tahun

Oleh Michelle Gun

Walaupun pernah memenangi Anugerah Telenovela sebelum ini, Emma Maembong terkejut apabila sekali lagi membawa pulang dua trofi pada acara sama, baru-baru ini.

Bintang drama Awak Suka Saya Tak itu dinobatkan sebagai Ratu Telenovela Serba Dinamik 2018 dan Pelakon Serba Dinamik dan Komited.

Pelakon berusia 26 tahun ini memberitahu, dia bersyukur kerana tawaran berlakon sentiasa ada selepas sudah enam tahun menceburi bidang seni.

“Walaupun sudah bertudung, saya masih mendapat tawaran berlakon. Sebenarnya ramai tidak bersetuju dengan keputusan saya untuk bertudung.

“Mereka memberitahu tidak banyak watak yang saya boleh bawa. Namun, sehingga hari ini saya masih dapat berdiri teguh,” katanya.

Menurut Emma, dia tidak pernah memilih terhadap watak atau jalan cerita karya yang ditawarkan kepadanya.

“Kalau dulu saya akan terima semua jenis drama kerana mahu cuba macam-macam watak. Memang saya pernah melakonkan beberapa watak sama tetapi pastikan untuk memperbaiki lagi bakat lakonan,” katanya.

Dalam pada itu, Emma meluahkan keinginan untuk mencuba watak jahat dan aksi.

“Kalau diberi peluang saya ingin membawa watak lebih mencabar dan berlainan dengan sebelum ini.

“Saya diberitahu penampilan saya kurang sesuai untuk jadi watak jahat dan aksi. Nak kata saya lembut tidak juga kerana berasakan diri seorang yang kasar.

“Walaupun perempuan jahat bukan watak utama, saya tidak kisah asalkan dapat pengalaman baru,” katanya.

Anugerah Telenovela 2018 turut menyaksikan pasangan selebriti Fattah Amin dan Nur Fazura masing-masing membawa pulang dua trofi menerusi gandingan mereka dalam filem Wanita Terindah dan drama Hero Seorang Cinderella.

Kemenangan pasangan suami isteri itu dijangkakan berikutan populariti mereka dalam dua karya berkenaan.

Bagaimanapun, Fattah dan Nur Fazura tidak dapat hadir ke acara berkenaan kerana berada di Singapura.

Nur Fazura memenangi Pelakon Wanita Telenovela Popular dan Pelakon Filem Popular.

Manakala Fattah menerima trofi bagi kategori Pelakon Lelaki Telenovela Popular dan Pelakon Lelaki Filem Popular.

Karya Wanita Terindah arahan Joon Goh turut memenangi anugerah Novel Popular dan Filem Popular.

Disiarkan pada: August 3, 2018 @ 9:05am
d