utama

Nabil pandang masa depan

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Sitiawan: Lelaki berstatus orang kurang upaya (OKU) kerana masalah pembelajaran atau lembam dan menghidapi Parkinson peringkat awal bukan halangan untuk dirinya terus maju mengubah kehidupan.

Mohd Nabil Azhari, 23, yang sebelum ini dibelenggu perasaan rendah diri kerana kekurangan dimiliki hingga mengasingkan diri daripada masyarakat kini bertekad mengatasi perasaan itu.

“Keadaan tangan yang terketar-ketar menjadikan saya rendah diri, namun semua itu perlu diatasi kerana saya mahu menjalani kehidupan seperti insan lain.

“Saya kini menjalani latihan sambil bekerja di bengkel pemprosesan Jelly Kelapa Muda D’Lekir yang diusahakan, Ahmad Shaupi Ismail, 51 yang juga OKU,” katanya ketika ditemui di bengkel berkenaan di Kampung Batu 9 Lekir, semalam.

Menurutnya, menyedari kesukaran mencari pekerjaan dia mengikuti latihan itu selepas menamatkan pelajaran di sekolah pendidikan khas, Sekolah Semangat Maju Sitiawan.

Katanya, kekurangan diri itu menjadikan dia hanya lebih selesa bergaul dengan ahli keluarga dan rakan sekolah saja.

“Apabila saya ikut pak cik (Ahmad Shaupi) keluar hantar jeli kelapa saya mula berkomunikasi dengan orang lain dan saya menyedari masyarakat tidak meminggirkan golongan OKU, itu membuatkan saya gembira.

“Sebelum ini saya hanya bercakap dengan keluarga dan rakan sekolah saja, saya juga pernah rasa malu dengan keadaan diri yang terketar tetapi sekarang saya sedar OKU juga perlu mempunyai keyakinan diri,” katanya.

Mohd Nabil berkata, perubahan untuk masa depan itu dibuat atas dorongan ibunya, Norlina Abdul Rashid@Rasid,46, keluarga, rakan, Ahmad Shaupi dan pihak sekolah terutama gurunya, Rosiati Sukimi.

“Saya juga mahu berjaya dan mempunyai impian membuat produk sendiri berasaskan makanan suatu hari nanti,” katanya yang menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk OKU berkerja.

Sementara itu, Ahmad Shaupi berkata, melalui perusahaannya itu dia memberi peluang kepada empat pelatih OKU termasuk Mohd Nabil untuk mendapat pengalaman, latihan dan berkongsi motivasi kepada mereka.

Disiarkan pada: August 3, 2018 @ 9:39am
d