utama

Restoran 'basuh dalam lopak' didenda RM5,000 [METROTV]

Oleh Nor Azura Abdul Jalil

SEBUAH syarikat yang juga pemilik restoran makanan daun pisang, Raj’s Banana Leaf didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas dua pertuduhan gagal melaporkan butir-butir dua pekerja asing di Pejabat Tenaga Kerja, Januari lalu.

Majistret Wong Chai Sia menjatuhkan hukuman itu terhadap syarikat Intercompass Sdn Bhd yang diwakili pengarahnya, Muhamad Rizal Abd Rahman, 40, selaku orang kena saman (OKS) selepas mengaku salah sebaik saja pertuduhan dibacakan kepadanya.

Mahkamah turut memerintahkan satu waran levi dikeluarkan sekiranya OKS gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, OKS didakwa sebagai majikan kepada dua warga India, C Suresh dan K Rajalingam didapati gagal melaporkan butir-butir mengenai penggajian pekerja asing di Pejabat Tenaga Kerja yang terdekat dalam tempoh 14 hari selepas pengambilan pekerja asing itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Tenaga Kerja Kuala Lumpur, Tingkat 9, Menara Perkeso, Jalan Ampang, di sini pada jam 11 pagi, 22 Januari lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 60K(1) Akta Kerja 1955 dan majikan boleh dihukum bawah seksyen 60K(5) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa dari Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Wilayah, Mohd Dzahiruddin Mat Salleh manakala OKS tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Muhamad Rizal dalam rayuannya memohon mahkamah memberikan hukuman denda yang ringan.

Bagaimanapun, Mohd Dzahiruddin memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal kerana kes itu telah menjadi perhatian umum dan membabitkan kepentingan awam.

Berdasarkan fakta kes, satu pemeriksaan telah dijalankan terhadap syarikat berkenaan di Jalan Telawi, Bangsar.

Hasil siasatan mendapati majikan telah menggajikan dua pekerja masing-masing sejak 20 Mei 2016 dan 15 Disember 2016.

Restoran itu sebelum ini pernah tular akibat tindakan pekerjanya yang dirakam membasuh pinggan menggunakan air lopak di belakang premis mereka.

Disiarkan pada: August 3, 2018 @ 11:24am
d