utama

[UPDATE] 'Sedih sangat'

Oleh Sudirman Mohd Tahir

"SAYA sangat sedih dan terkejut dengan berita ini. Saya sekarang dalam perjalanan ke Kota Kinabalu bagi menguruskan jenazah arwah bersama ahli keluarga terdekat," kata adik bongsu Allahyarham Datuk Mahadzir Lokman iaitu Ida Neliaty Lokman.

Ida, 57, ketika dihubungi Harian Metro, hari ini berkata, berita itu dimaklumkan oleh doktor di sana pagi tadi.

"Buat masa sekarang saya belum ada sebarang maklumat terperinci mengenai pemergian arwah. Maafkan saya kerana tidak boleh bercakap banyak ketika ini.

"Kalau saya sudah di sana, nanti saya akan maklumkan," katanya.

Menurut Ida, arwah berada di Kota Kinabalu sejak beberapa hari lalu atas urusan kerja.

"Arwah ada urusan kerja di sana. Saya dapat panggilan daripada doktor dan mengesahkan abang sudah meninggal dunia.

"Berkemungkinan dia meninggal selepas Subuh. Saya juga tidak pasti sama ada meninggal di rumah atau hotel," katanya.

Terdahulu, Mahadzir Lokman bekas personaliti TV3, meninggal dunia di Kota Kinabalu, Sabah, awal pagi tadi pada usia 61 tahun.

Tahun lalu, Mahadzir koma dan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU), Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya.

Seminggu selepas itu, Mahadzir dipindahkan ke wad biasa dan dilaporkan stabil.

Berita berkaitan:Mahadzir Lokman sudah tiada

Disiarkan pada: August 3, 2018 @ 1:08pm
d