utama

'Bayi aku rupanya yang kau dera'

Oleh BERNAMA

BAYI lelaki berusia 10 bulan disyaki didera pengasuhnya dalam kejadian di Indahpura, dekat Kulai, kira-kira dua minggu lepas, kata Ketua Polis Daerah Kulai Superintendan Dzulkhairi Mukhtar.

Beliau berkata, kejadian menimpa bayi itu disedari ibunya yang berumur 31 tahun selepas menonton rakaman video kejadian yang tular di laman Facebook dan terus membuat laporan di Balai Polis Kulai, pada 8.38 pagi ini.

“Menurut laporan tersebut, ibu bayi itu (pengadu) menonton satu rakaman video yang tular di laman sosial Facebook pada 1.30 tengah hari semalam, memaparkan seorang bayi lelaki dipukul oleh seorang pengasuh.

“Pengadu kemudian mengenal pasti bayi lelaki tersebut adalah anaknya yang dihantar ke rumah pengasuh berkenaan di Indahpura, Kulai.

“Ekoran tidak berpuas hati dengan tindakan pengasuh itu, ibu berkenaan datang ke balai polis bagi membuat laporan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dzulkhairi berkata, siasatan awal mendapati bayi tersebut mula dihantar untuk dijaga pengasuh berkenaan iaitu seorang wanita berumur 62 tahun, sejak Disember lalu.

Beliau berkata, bayi tersebut dihantar setiap hari Ahad dan akan diambil semula pada hari Jumaat dan bayi itu akan bermalam di rumah pengasuh berkenaan.

Katanya, sebelum rakaman video itu tular, ibu bayi tersebut yang juga seorang suri rumah ada mendengar tentang reputasi buruk pengasuh tersebut dan tidak lagi menghantar anaknya itu, sejak dua minggu lalu.

Menurut Dzulkhairi, polis sedang menjalankan siasatan terperinci dan setakat ini belum ada sebarang tangkapan dibuat.

Disiarkan pada: August 3, 2018 @ 6:04pm
d