utama

Projector Band tunjuk taring

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Gelaran band kampung yang dilemparkan segelintir pihak menjadi pemangkin dan pembakar semangat buat Projector Band membuktikan kemampuan sebenar mereka.

Kalis dengan kata-kata begini, anggotanya iaitu Is sebagai vokalis, Angah (gitar utama), Edi (gitar kedua), Mat (bass) dan Apit (dram) berusaha keras membuktikan mereka mampu berjaya serta berdiri sama tinggi dengan band rock sedia ada sekiranya diberikan peluang.

Ia terbukti apabila Projector Band berjaya memberikan kepuasan buat lebih 1,000 peminat yang hadir menyaksikan Konsert Sudah Ku Tahu yang berlangsung di Quill Convention Centre, Quill City Mall, Kuala Lumpur anjuran JW Live Production Sdn Bhd, baru-baru ini.

Satu pencapaian menggalakkan buat kumpulan yang baru berusia tiga tahun ini apabila tampil dengan konsert pertama yang menerima sambutan dianggap menggalakkan ini.

Sekitar jam 9.20 malam, anggota Projector Band muncul di atas pentas dan disambut dengan pekikan daripada peminat yang setia menanti.

Is dilihat cuba mengawal perasaan gugupnya dan cuba berkomunikasi dengan peminat sebelum menyampaikan lagu Pasti Ada Kamu sebagai pembuka tirai persembahan.

Dia kemudian menyampaikan lagu This Means War nyanyian asal kumpulan Avanged Sevenfold. Pemilihan lagu ini dilihat agak tepat bagi merancakkan suasana.

Menyelitkan beberapa celoteh, Projektor Band meneruskan lagi persembahan dengan lagu Welcome To The Black Parade (My Chemical Romance) serta diikuti lagu Meski Pun Kau Tahu, Setia Menantimu dan Aisyah.

Dapat diperhatikan peminat setia Projector Band tahu lagu-lagu mereka dan turut sama menyanyi terutama lagu Aisyah tanpa disuruh.

Persembahan diteruskan lagi dengan lagu I Don’t Want To Miss A Thing (Aerosmith), Matahari (Amuk) sebelum mereka menjemput Eka Shariff untuk berduet dengan Is menerusi lagu Percaya Hati.

Tidak cukup dengan itu, mereka meneruskan lagi gandingan ini dengan lagu Fantasia Bulan Madu (Search) yang digubah semula muziknya dalam cita rasa yang segar.

Terasa cepat masa berlalu kerana kekangan masa membuatkan Projector Band mengakhiri persembahan mereka dengan lagu popular Sudah Ku Tahu yang sekali lagi menyaksikan dewan persembahan bergema dengan nyanyian peminat.

Projector Band puas hati

Ditemui pada sidang media yang diadakan, anggota kumpulan ini mengakui lega dapat menunjukkan taring sebenar mereka kepada peminat.

“Ini konsert kami sendiri dan sebagai orang baru, pelbagai perasaan bermain dalam jiwa kami antaranya gembira, sedih dan terharu.

“Bukan mudah untuk buat konsert, tapi kami berjaya buktikan kemampuan Projector Band. Kami sudah ada enam lagu dan sudah layak untuk buat konsert sendiri.

“Peluang untuk kami buat konsert ini datang pada bulan Ramadan lalu dan sejak itu kami mula buat persiapan rapi. Malah kami sanggup korbankan sambutan Aidilfitri untuk bagi tumpuan terhadap konsert ini,” kata Is.

Angah pula berkata, gelaran negatif yang ditujukan kepada mereka ditukar menjadi kata-kata azimat bagi menyajikan persembahan terbaik.

“Projector Band boleh buat sesuatu benda tanpa halangan. Kami tak pernah terasa hati dengan apa saja label yang diberikan. Konsert ini suatu pengalaman baru dan pendedahan dalam beberapa persembahan sebelum ini banyak membantu kami dalam konsert ini.

“Kami berterima kasih kepada Johari Teh yang bertindak selaku pengarah muzik konsert ini. Kalau ikutkan kami sendiri tak puas hati dengan tempoh masa sejam yang diberikan untuk keseluruhan konsert ini.

“Bagaimanapun, kami perlu akur dengan kehendak penganjur. Apapun kami sebenarnya melanjutkan juga tempoh persembahan sehingga sejam setengah,” katanya.

Sementara itu, wakil syarikat rakaman MAP Music, Emryll Tahir berkata, pihaknya puas hati dengan prestasi yang diperlihatkan Projector Band dalam konsert ini.

Disiarkan pada: August 4, 2018 @ 4:43am
d