utama

Mana duit RM81 trilion?

Oleh Nor Azizah Mokhtar

Kuala Lumpur: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mahu Yayasan Hadhari Imanee menunjukkan bukti sumber pendapatan dana yayasan berkenaan yang dikatakan mencecah AS$20 trilion (RM81.6 trilion).

Ia bagi membuktikan mereka berkemampuan memberikan dana kepada orang ramai terutama usahawan dan peniaga kecil seperti ditawarkan yayasan berkenaan menerusi beberapa dana termasuk yang terbaru, Dana Pilihan Raya.

Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya ada menerima kunjungan daripada beberapa wakil yayasan berkenaan beberapa bulan lalu memohon sokongan berhubung usaha mereka memberikan dana iaitu modal perniagaan mencecah RM300,000 tanpa perlu membayar balik.

“Bila kita tanya berapa jumlah dana yang ada, mereka dakwa mempunyai dana sekitar AS$20 trilion hasil daripada perniagaan pertukaran wang asing yang dijalankan di Hong Kong, dengan pendapatan sekurang-kurangnya AS$6 bilion (RM24.4 bilion) seminggu.

“Justeru, kita minta mereka tunjukkan bukti pendapatan namun sehingga kini mereka masih gagal menunjukkan bukti berkenaan sebaliknya menunjukkan beberapa dokumen lain yang tiada kaitan,” katanya dalam sidang media, semalam.

Sementara itu, Pengerusi Biro Undang-Undang PPIM Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya menerima ribuan pertanyaan daripada orang ramai berhubung kesahihan tawaran Dana Pilihan Raya oleh yayasan berkenaan.

“Walaupun kita tegaskan kewujudan dana itu meragukan, namun mereka tidak percaya dan masih ramai yang membuat ‘permohonan’ untuk dana itu.

“Difahamkan, lebih 300,000 orang dari seluruh pelosok negara termasuk Sabah dan Sarawak terpengaruh tawaran itu dan membayar antara RM30 sehingga RM2,500 konon sebagai yuran pemprosesan.

“Mereka hanya perlu menunjukkan surat pendaftaran syarikat sendirian berhad (ROC) dan pendaftaran perniagaan (ROB) serta membuka akaun di sebuah bank tempatan,” katanya.

Beliau berkata, yayasan berkenaan berjanji separuh daripada dana akan didepositkan dalam akaun bank sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu dan selebihnya selepas itu namun sehingga kini wang berkenaan masih belum diterima pemohon.

Katanya, orang ramai diminta tidak mudah terpengaruh dengan tawaran dana sedemikian dan perlu membuat laporan polis jika berasa menjadi mangsa penipuan.

“Semalam (kelmarin), lima wakil yayasan sekali lagi buat pertemuan dengan kita dan mendakwa ada pihak menyalah guna nama yayasan itu dan bercadang mahu menubuhkan satu dana lain pula.

“Jika benar nama yayasan mereka disalah guna, kita minta mereka bersama kita pada sidang media PPIM hari ini (semalam) untuk memberi penjelasan namun mereka tidak hadir,” katanya.

Pada 28 Mac lalu, media melaporkan UMNO Shah Alam menafikan ada kaitan dengan Yayasan Hadhari Imanee yang didakwa menawarkan dana kewangan kepada peniaga.

Disiarkan pada: August 4, 2018 @ 5:38am
d