utama

Tiga hari tinggal bersama mayat

Oleh Manorza Saraev

SEBUAH keluarga di Kampung Petanak, di Mukah, tidak menyedari bahawa mereka tinggal serumah dengan seorang ahli keluarga yang sudah meninggal dunia tiga hari lalu.

Dalam kejadian itu 7.30 malam semalam, seorang lelaki berusia 20-an itu bertindak memecah masuk bilik abangnya yang didapati berkunci dari dalam.

Tindakan itu dilakukan selepas mereka sekeluarga curiga bilik berkenaan berkunci sejak tiga hari lalu.

Sumber berkata, lelaki terbabit terkejut selepas menemui abangnya yang berusia 37 tahun sudah tidak bernyawa dalam keadaan sudah hampir reput.

Katanya, adik si mati tidak menyangka bahawa abangnya itu sebenarnya sudah berada di rumah sejak tiga hari lalu.

“Mereka sekeluarga tidak mengetahui si matidi dalam bilik berkenaan kerana kebiasaannya dia sering pulang ke rumah lewat malam kerana sering keluar menangkap ikan bersama rakannya," katanya.

Difahamkan, selain adik lelakinya, si mati turut tinggal bersama seorang lagi adik perempuan dan ibunya yang kedua-duanya sedang sakit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Jimmy Panyau mengesahkan kejadian dan berkata kes diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut (SDR).

“Melalui siasatan awal, kita dapati tiada unsur jenayah di tempat kejadian. Mayat dibawa ke Hospital Mukah untuk bedah siasat," katanya.

Disiarkan pada: August 4, 2018 @ 4:18pm
d