utama

Dah sedia jadi isteri

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Tanggal 27 Julai lalu genap 26 tahun usia pelakon kecil molek Ruhainies.

Menyedari usia kian meningkat, tahun ini Ruhainies berharap dipercepatkan jodoh dan dipertemukan dengan lelaki tepat.

Meskipun ibu bapanya tidak pernah mendesak dalam soal itu, Ruhainies atau nama sebenarnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas perlu bersedia melangkah ke alam rumah tangga.

Apa yang pasti, Ruhainies yang mula dikenali menerusi drama Hello, Mr Perfect! mencari jejaka yang mampu menjaga dan memberikan sepenuh kasih sayang seperti mana dilakukan ibu bapanya.

“Tahun ini saya sudah 26 tahun. Saya berharap dipertemukan dengan lelaki yang tepat.

“Kalau bukan dalam masa terdekat mungkin tahun depan. Malah, itu juga antara impian saya, sekali gus menjadi hadiah bermakna buat diri sendiri dan ibu bapa.

“Memandangkan ibu bapa mengetahui saya berkawan dengan ramai orang, jadi mereka tidak risau malah jauh sekali mendesak. Cuma mereka tetap berharap saya buat pilihan terbaik.

“Kalau ikutkan mereka belum mahu melepaskan saya. Sebab nanti perhatian saya terbahagi dua.

“Namun, Mama ada cakap, kalau suatu hari nanti berjumpa lelaki tepat dan yakin boleh menjaga, bela dan sayang saya sampai bila-bila, dia okey kalau saya nak kahwin,” katanya.

Kenyataan Ruhainies itu mengesahkan status dia masih solo dan terbuka untuk berkawan dengan mana-mana lelaki.

Ruhainies, adik kepada pelakon Nur Risteena berkata, usia sekarang waktu terbaik dia membuka hati dan mengenali lebih rapat lelaki sebelum mengambil keputusan untuk ke fasa lebih serius.

“Buat masa sekarang saya masih solo. Kalau boleh mahu fokus kepada kerjaya dan berharap dapat jumpa jejaka yang baik dan dapat membuktikan kepada mama.

“Walaupun perjalanan ke arah itu masih panjang dan belum terlintas untuk berkahwin, saya berasakan usia sekarang paling sesuai untuk mencari pasangan hidup.

“Disebabkan itu, saya mula buka hati. Mungkin lelaki itu dalam kalangan yang sudah saya kenal atau sebaliknya.

“Saya jenis kalau sudah menyayangi seseorang, saya akan sayang sepenuh hati dan setia. Bukan cara saya nak main-main. Jadi, kalau sudah jumpa pasangan sesuai saya akan fokus dia sahaja,” katanya.

Tidak hanya memikirkan dirinya, Ruhainies berharap akan terus berjaya dalam kerjaya supaya dapat membahagiakan ibu bapanya.

Sambutan awal enam hari

Berkongsi mengenai sambutan hari jadinya, Ruhainies tidak menjangka ia disambut enam hari awal.

Malah, Ruhainies berasa sebak dan terharu dengan sokongan diberikan peminat dari dahulu sampai sekarang.

“Setiap tahun peminat saya tidak pernah lupa mengadakan sambutan hari jadi.

“Itu bukti mereka menyayangi saya. Malah, usaha ditunjukkan itu membuatkan saya berasa sangat dihargai.

“Mereka bertungkus-lumus menjayakan majlis termasuk pihak yang sudi menaja ribuan ringgit.

“Malah, kebanyakan mereka sanggup keluar duit poket sendiri semata-mata ingin melihat acara ini direalisasikan.

“Ia tidak termasuk hadiah yang diberikan kepada saya. Bagi saya, semua itu bukan murah.

“Apa saja majlis yang dijayakan membabitkan peminat, pembantu peribadi saya adalah perancang utama.

“Pihak penaja akan mencarinya dalam menjayakan majlis. Macam tahun ini, memang tidak menjangka mereka buat majlis enam hari awal. Ia membuatkan saya tersentuh, terharu dan bersyukur,” katanya.

Berkongsi mengenai perkembangan kerjaya seninya, Ruhainies baru saja terbabit dalam penggambaran drama 13 episod berjudul Aisyah yang bakal ditayangkan di saluran RTM hujung tahun ini.

Selain itu, drama lakonannya bersama Aidil Aziz iaitu Cinta Lemon Madu bakal bersiaran pada 8 Ogos ini menerusi slot Lestary TV3.

“Insya-Allah, saya sedang meneliti dua tawaran drama. Saya belum buat keputusan kerana kedua-duanya bagus. Selain itu, saya juga terbabit dalam program By The Sea untuk TV3.

“Tawaran tidak pernah putus dan berharap ia berterusan. Terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa mempercayai bakat saya,” katanya.

Disiarkan pada: August 5, 2018 @ 3:42am
d