utama

Lupakan pengalaman hitam

Oleh Najiy Jefri

Ketika memulakan karier seni pada 2001 aktres jelita Datin Diana Danielle masih mentah, namun dia beruntung kerana diuruskan dengan baik oleh bonda tercinta Norsiah Ramli sehingga kini.

Aktres yang lebih sedekad mencanai bakat sebagai pelakon itu pernah berdepan pengalaman hitam pada awal kemunculan dulu.

Kata Diana, pengalaman ketika usianya belasan tahun itu tidak mungkin dilupakan. Ia terpahat utuh pada ingatan hingga kini.

“Ramai mahu ambil kesempatan terhadap artis baru. Bukan saja orang industri tetapi golongan berada juga tertarik untuk mengenali artis dengan lebih dekat.

“Saya tak takut untuk kongsi perkara ini kerana ia memang berlaku.

“Pernah sekali saya didekati seorang pengurus produksi yang terpaksa menjemput saya di rumah untuk ke lokasi penggambaran kerana ibu saya tidak dapat menemani.

“Kejadian berlaku ketika usia saya baru 16 tahun. Mulanya hubungan kami seperti rakan tetapi lama-kelamaan intonasi suaranya berubah membuatkan saya rasa tidak selesa.

“Mujurlah kerjaya seni saya diuruskan ibu jadi saya sentiasa berada dalam keadaan selamat,” katanya.

Mungkin kisah yang berlaku dalam hidup aktres berdarah kacukan Melayu-Inggeris itu diterjemahkan dalam drama terbaharu lakonannya Raisha 2.

Terdapat babak digoda seorang pengarah lakonan Fadlan Hazim yang ingin mengambil kesempatan terhadapnya yang mencari peluang berlakon.

Memegang watak sebagai Raisha yang tidak pernah puas dengan apa yang dia ada, Diana cuba membawakan karakter antagonis itu dengan sebaik mungkin menerusi pengalaman yang dilaluinya.

“Untuk Raisha 2, ia bukan lagi mengenai isu anak dan bapa tetapi lebih kepada isu seorang wanita yang tidak mahu mengubah cara hidupnya walaupun sudah berkahwin dan mempunyai anak.

“Saya cuba bawakan karakter ini dengan sebaik mungkin. Meskipun karakter ini akan dibenci penonton, saya tidak kesah asalkan mesej dan lakonan yang saya pamerkan sampai ke hati penonton,” katanya.

Dia turut memaklumkan sekuel itu akan ditayangkan pada 10 Oktober nanti di portal tonton.

Terdahulu, Diana berjaya menterjemahkan karakter itu menerusi drama Raisha yang pernah disiarkan di tonton dan kemudiannya slot Lestari TV3 pada September 2017.

Farid hadiahkan simulator

Meskipun sibuk menguruskan hal keluarga dan lakonan, Diana masih sempat meluangkan waktu untuk memenuhi minat dan kecintaannya terhadap dunia lumba kereta.

Kata Diana, dia teruja apabila suaminya, Datuk Farid Kamil sentiasa memberikan sokongan dan menghadiahkannya simulator bagi memantapkan skil di litar.

Menurutnya, Farid antara penyokong kuat yang sentiasa memberi galakan dia menjadi pelumba kereta selepas terbabit dalam program Toyota Gazoo Racing.

“Saya terima tawaran ini kerana Farid kata jangan lepaskan peluang yang datang.

“Sebelum ini saya tak pandai memandu kereta manual tetapi Farid selalu beri kata-kata semangat.

“Lebih menyeronokkan, dia menghadiahkan simulator lumba kereta supaya saya boleh berlatih di rumah,” katanya.

Meskipun mempunyai kemahiran berlumba di litar, Diana menegaskan itu bukan alasan untuk memandu laju di jalan raya sebaliknya dia lebih berhati-hati mengawal kenderaan.

Beralih mengenai perkembangan karier nyanyian, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-29 itu berkata, dia bakal muncul dengan single duet bersama Reyza Hamizan berjudul Infiniti.

Meski nyanyian hanya sekadar suka-suka, Diana tidak menyangka lagu terbabit berpeluang muncul di pasaran.

“Saya baru habis rakam muzik video lagu ini. Insya-Allah tak lama lagi lagu berentak balada ini akan diperdengarkan,” katanya.

Disiarkan pada: August 5, 2018 @ 3:52am
d