utama

[UPDATE] Sempat berlindung bawah meja [METROTV]

Oleh Salman Hamat; Mohd Azam Shah Yaacob dan Shuhada Mansor

SELEPAS seminggu, bumi Lombok, Indonesia, sekali lagi bergegar apabila gempa bumi dengan kekuatan 7 magnitud melanda pulau itu dalam kejadian jam 7.46 malam hari ini (waktu tempatan).

Wartawan Harian Metro, Salman Hamat yang berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Lombok, melaporkan terminal lapangan terbang itu bergoyang akibat gempa bumi berkenaan.

Beliau berkata, ia menyebabkan ratusan penumpang yang menunggu pelepasan penerbangan menjadi panik.

Menurutnya, gegaran hampir seminit itu menyebabkan ada penumpang yang terjatuh ketika berpusu-pusu untuk keluar dari terminal.

“Keadaan bertambah cemas apabila bekalan elektrik terputus menyebabkan bangunan terminal bergelap hampir satu minit.

“Selain itu, ada penumpang trauma dan menjerit ketakutan berikutan sudah menempuh pengalaman sama sebelum ini.

“Malah, saya sempat berlindung di bawah meja kerana panik berikutan gegaran berlaku secara tiba-tiba ketika sedang menunggu penerbangan pulang ke Malaysia,” katanya.

Salman berada di Lombok kerana mengikuti pasukan sukarelawan Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) mengagihkan bantuan makanan, ubat-ubatan serta keperluan asas lain di pulau berkenaan dan dijadualkan pulang ke tanah air, malam tadi.

Beliau berkata, petugas lapangan terbang kemudian mengarahkan penumpang mengosongkan terminal dan berkumpul di landasan atas sebab keselamatan.

Katanya, keadaan terkawal dan kembali tenang kira-kira 15 minit kemudian.

Sehingga kini, belum ada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Sementara itu, wartawan Harian Metro yang berada di Kepulauan Karimunjawa, Shuhada Mansor, berkata gempa bumi melanda Lombok turut menyebabkan keadaan panik dalam kalangan penduduk kepulauan berkenaan apabila siren kecemasan dibunyikan.

Katanya, biarpun gegaran tidak dirasai di pulau berkenaan, namun penduduk bimbang gempa bumi di Lombok akan mencetuskan gelombang tsunami yang dikhuatiri akan melanda Karimunjawa.

“€œKeadaan di sini panik apabila siren amaran dibunyikan dan penduduk mengambil langkah siap sedia berikutan bimbang berlaku tsunami.

“Dilaporkan beberapa kenderaan rosak selepas ditimpa struktur bangunan yang runtuh,” katanya.

Shuhada berkata, penduduk di Lombok, Sidik Hutomo, melaporkan ada penduduk di kawasan rendah di tepi pantai menyelamatkan diri ke puncak bukit di Senggigi kerana bimbang berlaku tsunami.

Menurut Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa bumi itu berlaku pada kedalaman 10 kilometer dan berpusat kira-kira lima kilometer dari Desaanyar, Lombok.

Berita berkaitan

'Panik Lombok bergegar lagi'

Disiarkan pada: August 5, 2018 @ 9:38pm
d