utama

Tak peduli label negatif

Oleh Norhayati Nordin

Tempoh sedekad memperjuangkan bakat seninya diakui bukan langkah dan percaturan yang dilakukan dengan mudah.

Pelbagai liku memeritkan pernah dilalui bakat baru meningkat naik, Muhammad Shafieq Shazwan Zamros atau Afieq Shazwan, 21.

Afieq yang cukup dikenali menerusi drama Elly & Epit pada 2011 terlebih dulu memulakan langkah dalam Idola Kecil 1 di TV9 pada 2008.

Walaupun meraih tempat keenam ketika itu, laluan Afieq mengembangkan bakat seninya lebih menyerlah sebagai pelakon.

Mengakui tidak menduga dia mampu membina kerjaya dalam lakonan, Afieq berkata, segalanya dilakukan secara suka-suka dan mahu mencuba.

“Selepas Idola Kecil berakhir, saya tidak tahu ke mana arah tujunya ketika itu. Apabila memperoleh peluang berlakon saya terima saja.

“Syukur bakat saya dalam lakonan menjadi dan kemudian diteruskan dalam bidang pengacaraan pula menerusi program kanak-kanak ChiChi & ChaCha pada 2014.

“Bagaimanapun, melihatkan perjalanan agak berliku yang dilalui itu saya tetap puas hati,” katanya.

Menurut pemuda yang mengikuti pengajian Diploma Pengurusan Perniagaan ini, dia sangat berhati-hati pada setiap tindak-tanduk.

“Sikap berhati-hati itu membuatkan tiada ruang buat saya dipalit cerita sensasi atau kontroversi yang boleh membantu publisiti.

“Jadi, secara tidak langsung ia menyebabkan perkembangan kerjaya saya ke arah popular agak perlahan hingga pernah dilabel suam-suam kuku.

“Namun, saya tidak kecil hati dan kecewa dengan dakwaan dilemparkan. Bagi saya, biarlah apa yang orang nak cakap kerana mereka tidak tahu kepayahan sebenarnya.

“Sepanjang menceburi lakonan, dimaki di set penggambaran adalah perkara biasa. Jadi, saya sudah lali dengan semua itu kerana pengalaman yang membentuk kematangan,” katanya.

Menurut Afieq, paling utama baginya ialah menjaga nama baik ibu bapa dan keluarga. Malah, dia gembira sering mendapat nasihat daripada pelakon senior.

Katanya, pelakon Syafie Naswip antara individu yang banyak memberi nasihat kepadanya supaya tidak sombong dan sentiasa merendah diri untuk kekal bertahan.

Afieq yang masih berwajah ‘jambu’ juga memberitahu kini dia sudah bersedia mencuba watak lebih besar untuk membuktikan bakat lakonannya.

“Saya tidak kisah jika terus diberi watak pelajar sekolah, tetapi biarlah sesuai dengan usia. Bagaimanapun, saya bersikap terbuka untuk terima watak lebih mencabar seperti antagonis dan psiko.

“Namun, untuk 2018 ini tumpuan saya lebih ke arah mengetengahkan bakat dalam bidang nyanyian. Oleh itu, saya ambil peluang menyertai program Big Stage terbitan Astro,” katanya.

Big Stage yang mengetengahkan barisan penyanyi Budak Baru Nak Up (BBNU) sudah membuka tirai persaingan 10 peserta untuk minggu pertama pada malam kelmarin.

Antara penyanyi yang menyertai Big Stage ialah Ariff Bahran, Tajul, Andi Bernadee, Syafiq Farhain, Wani Kayrie, Sissy Iman, Fara Hezel, Sarah Suhairi dan Baby Shima.

Pertaruh single solo Seandainya

Minat pada nyanyian yang tidak pernah pudar akhirnya menjadi realiti buat Afieq. Dalam diam, dia sudah menghasilkan single sulung berjudul Seandainya.

Mempertaruhkan single ciptaan dan lirik ditulis Gouffran bersama Sang Hitam itu, ia menjadi pembuka langkah pertama bagi Afieq untuk dikenali sebagai penyanyi.

“Apa yang saya lakukan ini bukan kerana bersikap tamak untuk menonjol diri atau mengejar populatiri. Saya membabitkan diri dalam nyanyian kerana minat yang tebal.

“Ditambah dapat pula lagu yang sesuai dengan vokal daripada Gouffran dan Sang Hitam. Jadi, kenapa saya perlu menolak peluang yang sudah ada depan mata?

“Apatah lagi, saya bukanlah tidak boleh menyanyi langsung. Cuma disebabkan masih baru sebagai penyanyi saya tahu kena hadiri kelas vokal.

“Setakat ini, saya ada mengikuti kelas vokal yang dibuat oleh Ernie Zakrie. Cuma jadualnya mengikut kelapangan masa saya.

“Buat masa sekarang, rezeki saya pun agak murah dengan tawaran mengacara majlis. Jadi, ia turut beri ruang pada saya mempromosikan single Seandainya,”katanya.

Berbicara mengenai single berkenaan, Afieq yang bernaung dengan FMC berkata, proses rakaman lagu dibuatnya sekitar tahun ini.

Lirik video rasmi Seandainya yang dimuat naik di YouTube sejak lima bulan lalu sudah mencatat lebih 500,000 tontonan.

Manakala, untuk video muzik rasmi pula sudah ditonton lebih 240,000 pelayar YouTube sejak dimuat naik kira-kira tiga bulan lalu dan kini single itu mula mendapat perhatian stesen radio.

Disiarkan pada: August 6, 2018 @ 9:55am
d