utama

Ferrari RM245 juta

Oleh Agensi

Los Angeles: Sebuah kereta Ferrari 250 GTO model tahun 1962 dijangka dijual pada harga mencecah AS$60 juta (RM245 juta) dalam satu lelongan pada bulan ini sekali gus menjadi kenderaan paling bernilai ditawarkan kepada orang awam.

Menurut CNN, lelongan tahunan yang dianjurkan RM Sotheby dijangka menampilkan kereta lumba terkenal berkenaan yang dianggarkan menilai AS$45 juta (RM184 juta) hingga AS$60 juta.

Sekiranya kereta berkenaan mencecah harga berkenaan ia dengan mudah memecah rekod kereta paling mahal di dunia yang dipegang sebuah lagi kereta Ferrari 250 GTO 1962 dijual pada harga AS$38 juta (RM155 juta) pada 2014.

Tahun lalu, ada laporan menyatakan sebuah Ferrari 250 GTO dijual pada harga AS$70 juta (RM286 juta) namun jualannya tidak pernah disahkan oleh badan bebas.

Daily Mail melaporkan lelongan berkenaan antara acara dalam Pertunjukan Kereta Pebble Beach Concours d’Elegance ke-68 yang bermula pada 21 Ogos ini di California.

Pertunjukan kereta berkenaan dianggap paling eksklusif di dunia dengan peminat kereta berkumpul untuk membeli kenderaan paling bernilai dan sangat jarang ditemui.

Pada tahun ini, peminat kereta menjangkakan dua rekod bakal dipecahkan dalam acara lelongan berkenaan iaitu kereta British paling bernilai dan kereta Amerika paling bernilai.

CNN memberitahu, kereta Ferrari 250 GTO sering dibeli dengan harga yang tidak masuk akal kerana tiga faktor utama.

Pertama, reputasi pembuat kereta dari Itali itu yang terkenal kerana sering membina kereta lumba paling berjaya di dunia.

Ferrari 250 GTO juga dianggap sebagai kereta paling sukar ditemui kerana hanya 36 buah dikeluarkan oleh syarikat itu antara 1962 hingga 1964.

Faktor ketiga, Ferrari 250 GTO juga dianggap sebagai kereta yang sangat cantik dan sempurna.

Disiarkan pada: August 6, 2018 @ 10:09am
d