utama

'Apabila bapa hilang waras akal...'

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

LELAKI bertindak mengurung dua anaknya sebelum cuba membunuh diri dengan membuka injap tong gas petroleum cair (LPG) selain mengugut minum racun di dalam rumah mereka di Ayer Tawar, Manjung, hari ini.

Difahamkan, suspek, 45, bertindak di luar kawalan kerana tertekan kerana mempunyai masalah keluarga berikutan isterinya yang dipercayai wanita warga Vietnam dikatakan sudah pulang ke negara asal.

Dalam kejadian jam 11 pagi, anak saudara suspek berusia 25 tahun menerima panggilan daripada guru sekolah memaklumkan lelaki itu mengambil dua anaknya di sekolah.

Anak saudara suspek kemudian membuat laporan polis berikutan bimbang keselamatan lelaki itu dan dua anaknya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung Deputi Superintendan Chong Bhoo Khim berkata, suspek didapati berada bersama anaknya berusia lima dan lapan tahun di dalam rumah dan turut menghalau anak saudara perempuannya.

Menurutnya, suspek kemudian mengunci pintu rumah dan memaklumkan dia mahu membunuh diri bersama dua anaknya.

Katanya, suspek kemudian membuka kepala tong gas di dalam rumah, malah turut mahu meminum racun bersama anaknya.

“Bagaimanapun, pihak polis berjaya menahan lelaki itu dan menyelamatkan kedua-dua anaknya. Sebelum ini, suspek sudah beberapa kali dikatakan membahayakan keselamatan anaknya.

“Hasil semakan mendapati suspek juga mempunyai beberapa rekod jenayah membabitkan kes dadah dan ugutan jenayah.

“Polis menahan lelaki itu untuk siasatan mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubung NSTP.

Bhoo Khim berkata, polis merampas sebuah tong racun, tong gas, pemetik api, paip gas dan gelas tin berisi racun.

Katanya, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan polis akan menjalankan ujian air kencing ke atas lelaki itu.

“Polis akan mendapatkan perintah tahanan reman ke atas suspek, esok,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Tawar Azlan Mahayiddin berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 12.30 tengah hari sebelum lapan anggota bersama sebuah jentera dihantar ke lokasi kejadian.

“Anggota bomba dan polis cuba memujuk lelaki itu yang memegang anaknya berhampiran tingkap dalam keadaan terbuka hasil pujukan supaya gas dapat keluar dari rumah itu.

“Pada masa sama anggota bomba lain cuba membuka pintu belakang rumah, dan tindakan pantas pasukan penyelamat berjaya menyelamatkan mereka selepas 15 minit usaha dijalankan,” katanya.

Katanya, anak mangsa yang ketakutan akibat kejadian dihantar ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan.

Disiarkan pada: August 6, 2018 @ 6:16pm
d