utama

40 jemaah dikhuatiri terkorban [METROTV]

Oleh Nor Azizah Mokhtar; Mohd Firdaus Ibrahim; Rizanizam Hamid dan Khairul Najib Asarulah Khan

Kuala Lumpur: Seramai 40 jemaah yang terperangkap dalam runtuhan di Masjid Desa Lading-Lading, Tanjung, Lombok Utara, Indonesia dipercayai maut susulan kejadian gempa bumi yang melanda pulau itu, kelmarin .

Dalam kejadian jam 7.45 malam, semua mangsa dilaporkan sedang menunaikan solat Isyak sebelum masjid berkenaan runtuh akibat gempa bumi.

Pengetua Pondok Asshohwah Al-Islamiyah Akhyar Rasyidi yang berada di Lombok ketika dihubungi Harian Metro berkata, sehingga kini 40 penduduk kampung yang terperangkap dalam masjid itu masih belum dikeluarkan.

“Sudah hampir 24 jam kejadian berlaku tetapi tiada seorang pun daripada jemaah yang terperangkap dikeluarkan, ” katanya .

Menurutnya, pihak berkuasa tempatan sedang memp ergiatkan usaha mengeluarkan mangsa yang terperangkap.

“Pihak polis dan tentera ada (di lokasi kejadian), usaha mengeluarkan mangsa sedang dilakukan.

“Saya yakin semua jemaah meninggal dunia dalam kejadian ini,” katanya yang turut memberitahu keadaan masjid agak usang dan berusia menyebabkannya mudah runtuh akibat gempa bumi yang berlaku.

Diminta menggambarkan keadaan di lokasi kejadian, Akhyar berkata, semua penduduk kampung sedang sibuk menyelamatkan ahli keluarga dan harta benda masing-masing.

“Hampir 80 peratus rumah di kawasan berkenaan runtuh. Keadaan di sini agak tegang. Saya boleh katakan semua sedang bersedih dan trauma dengan apa yang berlaku , ” katanya.

Gempa bumi di Lombok sejak seminggu lalu sudah mengorbankan 91 nyawa selain 209 penduduk kepulauan itu mengalami kecederaan

Disiarkan pada: August 7, 2018 @ 9:23am
d