utama

Doakan Mia Sara sembuh

Oleh Norhayati Nordin

PELAKON Mia Sara Nasuha, 13, masih ditahan untuk pemantauan lanjut ke atasnya akibat jangkitan kuman pada saluran kencing.

Mia dimasukkan ke hospital swasta di Kota Damansara, Petaling Jaya sejak Isnin lalu dan sepatutnya dibenar keluar, hari ini.

Bapanya, Muhammad Ridhuan Muhammad Saleh dihubungi berkata, keadaan Mia agak serius tetapi masih terkawal.

“Sepatutnya memang Mia dibenarkan keluar hari ini, tetapi pagi tadi keadaannya memerlukan rawatan lanjut.

“Demi kesihatan Mia, saya ikut saranan doktor untuk membuat rawatan lanjut ke atasnya.

“Saya mahu Mia sihat semula dan biarlah dia mendapatkan rawatan lanjut di hospital sebelum dibenarkan balik rumah,” katanya.

Muhammad Ridhuan menyangkal tegas berita mendakwa buah pinggang anaknya rosak.

“Saya kesal apabila ada pihak tidak bertanggungjawab membuat bermacam-macam spekulasi mengenai penyakit Mia.

“Hinggakan ada blog menulis kononnya Mia dimasukkan ke hospital kerana rawatan masalah buah pinggang.

“Sanggup mereka menulis berita tidak betul dan tanpa usul periksa kerana mahu menjadi orang pertama dan mungkin mengejar tular,” katanya.

Muhammad Ridhuan berkata apa pun dia berterima kasih kepada semua pihak mendoakan kesihatan Mia supaya cepat sembuh.

Menceritakan keadaan awal anaknya, Muhammad Ridhuan memberitahu jangkitan kuman pada saluran kencing itu menyebabkan buah pinggang Mia membengkak.

“Ketika bangun Subuh pada Isnin lalu, Mia mengadu sukar kencing menyebabkan perutnya sakit.

“Tetapi, dia masih ke sekolah seperti biasa. Namun, saya terus membawa dia ke klinik selepas Mia menghubungi dan mengadu sakitnya belum hilang.

“Doktor di klinik meminta saya membawa Mia ke hospital untuk melakukan pemeriksaan lanjut.

“Justeru, doktor memaklumkan Mia mengalami jangkitan kuman pada saluran kencing yang menyebabkan buah pinggangnya turut membengkak,” katanya.

Ujar Muhammad Ridhuan, masalah itu terjadi mungkin berpunca daripada tabiat Mia yang kurang minum air hingga menyebabkan tubuhnya mengalami dehidrasi.

Bagaimanapun, Muhammad Ridhuan berkata dia turut lega apabila Mia disahkan tidak mempunyai penyakit serius lain.

Mia pernah membintangi drama seperti Adamaya, Epilog Syurga Cinta, Tiramisu, Zoo The Series, Begitulah Cinta, Cuak dan Strawberi & Karipap

Manakala, filem lakonannya seperti Nur Kasih The Movie, Lagenda Budak Setan 3: Kasyah, Sekali Lagi dan Papa I Love You.

Disiarkan pada: August 9, 2018 @ 6:52pm
d