utama

Asam keping warisan moyang

Oleh Hassan Omar

Alor Gajah: Dia sudah 33 tahun memasak, tetapi tidak pernah membeli asam keping, sebaliknya bahan masakan itu disediakan hasil titik peluh sendiri.

Che Rodziah Ibrahim, 45, juga tidak perlu mendapatkan asam keping dengan meminjam atau meminta daripada sesiapa kerana bahan diperlukan untuk menghasilkan masakan ada di sekelilingnya.

Sejak mula belajar memasak ketika berusia 12 tahun, wanita dari Kampung Tiak, Baling, Kedah itu hanya menggunakan asam keping daripada buah asam gelugur dari pokok berhampiran rumah keluarganya.

“Sejak kecil ibu ajar saya bagaimana membuat asam keping. Kami cuma perlu kutip buah asam gelugur dari pokok di belakang rumah untuk dihiris.

“Hirisan tidak boleh terlalu tebal kerana ia lambat kering apabila dijemur,” katanya di rumahnya di Kampung Durian Daun, Masjid Tanah di sini, semalam.

Selepas mendirikan rumah tangga dengan suami, Jasni Tamby Chik, 46, Che Rodziah yang kini menetap di kampung halaman suaminya juga tidak pernah membeli asam keping kerana buah itu sering diberikan percuma oleh jirannya.

Dia berkata, ilmu menghasilkan asam keping atau istilah botaninya garcinia cambogia diturunkan kepada anak sulungnya, Nurrujaha Jasni, 22, yang masih menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Saya ajar anak buat asam keping yang boleh menambah keenakan selain menaikkan aroma pada masakan,” katanya.

Sementara itu, Nurrujaha berkata, dia gemar menjemur asam keping di atas nyiru besar diwarisi daripada moyangnya, Dalma Abidin.

“Arwah moyang menggunakan nyiru besar itu untuk menampi padi, tetapi saya guna untuk jemur asam keping,” katanya.

Setiap kali memasak asam pedas, gulai, tomyam, laksa dan seumpamanya, selain menghilangkan hanyir ikan dalam masakan, Nurrujaha tidak pernah lupa mencampurkan asam keping.

“Asam keping yang benar-benar kering mampu bertahan lama dan berkualiti sebagai bahan penambah perisa masakan,” katanya.

Disiarkan pada: August 10, 2018 @ 9:36am
d