utama

'Biar aku derita'

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: “Demimu isteri dan anak tersayang. Abang sanggup tanggung derita ini, jika itu harga yang perlu dibayar.

“Biar saya menderita menahan kesakitan asalkan isteri dan anak kembali pulih seperti sedia kala selepas ini,” itu luahan pemain gitar kumpulan rock Crossfire Mohamad Yusri Razali, 50, yang berkorban untuk isteri dan anaknya.

Dua bulan lalu isterinya, Waniza Wahab, 47, disahkan menghidap masalah jantung manakala anak sulungnya, Mohamad Nazirul, 24, ketika itu menderita akibat ketumbuhan pada otak.

Sebagai ketua keluarga, Mohamad Yusri sanggup berkorban dan menangguhkan pembedahan membuang ketumbuhan pada otak yang sepatutnya dijalankan serentak bersama Mohamad Nazirul di Institut Kanser Negara (IKN) pada 27 Ogos depan.

“Lemah longlai apabila doktor beritahu isteri menghidap masalah jantung. Apa tidaknya saya dan anak sulung yang mengalami ketumbuhan pada otak belum selesai menjalani rawatan.

“Jika diikutkan isteri perlu dibedah dalam masa terdekat ini juga. Tetapi prosedur itu perlu ditangguhkan berikutan dia dikesan menghidap hepatitis B. Sekarang isteri hanya boleh diberi rawatan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Gitaris kumpulan rock Crossfire yang popular pada era 1990-an itu memberitahu dia mahu memastikan Mohamad Nazirul dan Waniza diberi keutamaan.

Baginya dia berharap Mohamad Nazirul dan Waniza kembali pulih selepas menjalani pembedahan nanti.

“Doktor memberitahu kemungkinan saya akan kerap menanggung kesakitan selepas mengambil keputusan untuk menangguhkan pembedahan. Namun jika itu harga yang perlu saya bayar, tidak mengapa asalkan dapat melihat anak dan isteri sembuh.

“Anak saya orang kurang upaya (OKU) pekak sejak dilahirkan, sebab itu saya tidak mahu dia ketinggalan daripada pelbagai segi,” katanya.

Dia yang kini menetap di Kampung Sabak Awor, Muar, Johor berkata, walaupun dugaan yang dihadapi memberi tekanan kepadanya, semua itu dianggap sebagai dugaan dan ketentuan Allah SWT.

“Saya akan cuba sedaya upaya mengharungi semua ini. Sememangnya dugaan ini cukup berat ditambah pula kami kini hanya bergantung hidup kepada sumbangan orang ramai kerana saya dan isteri tidak mampu lagi untuk bekerja,” katanya.

Orang ramai mahu membantu meringankan beban Mohamad Yusri dan keluarganya boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Bank CIMB 7623765739 (Mohamad Yusri Razali).

Disiarkan pada: August 10, 2018 @ 9:54am
d