utama

'Tak bayar Ahad ni... lapor polis!'

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PENYANYI, Shiha Zikir, 31, meluahkan rasa kecewa dan marah apabila ‘dirompak’ oleh kenalan yang dipercayainya selama ini.

Kenalan berusia 40-an itu sebelum ini meminjam wang berjumlah hampir RM20,000 daripadanya pada Januari lalu, namun tidak melunaskan janjinya untuk membayar semula sehingga kini.

“Januari lalu, dia meminta saya untuk meminjamkan wang kepadanya. Katanya, kehidupannya sekeluarga terdesak kerana baru berpindah rumah.

“Dia siap tunjukkan gambar-gambar keadaan rumahnya yang kosong dan anak-anaknya yang berada dalam keadaan memerlukan,” katanya kepada Harian Metro.

Pada awalnya dia berjanji membayar ansuran bulanan hilang selama beberapa bulan selepas menerima wang pinjaman itu.

“Saya ada menghantar kiriman WhatsApp dan menghubunginya, namun tidak berbalas. Dua tiga hari kemudian, dia beritahu saya yang dia belum ada duit.

“Tidak lama selepas itu, saya ada berjumpa dengannya kerana dia terbabit sebagai salah seorang kru untuk satu acara.

“Nak dijadikan cerita, duit untuk acara yang akan berlangsung pada hujung bulan itu juga dibawa lari olehnya,” katanya lagi.

Selepas disiasat, dia dikatakan pernah menipu beberapa mangsa lain sebelum ini.

“Saya berpakat dengan beberapa mangsa lain dan pergi mencarinya di rumah. Tapi, dia tiada di rumah dan yang ada cuma keluarga serta anak-anaknya.

“Keluarganya yang tidak tahu apa-apa mengenai penipuan itu meminta supaya saya tidak membuat laporan polis.

“Saya beri masa sehingga Ahad ini kepadanya untuk membayar semua hutang dan memulangkan semua duit yang dilarikan. Kalau masih tiada sebarang tindakan, saya akan membuat laporan polis,” katanya.

Penyanyi lagu Jagakan Dia itu juga meluahkan rasa terkilan kerana tiada rasa tanggungjawab dalam diri kenalannya itu.

“Ramai juga kawan-kawan saya pinjam duit daripada saya, tapi mereka lunaskan seperti yang sepatutnya. Kalau tak ada duit pun, terus terang dan saya faham.

“Tapi, bila rasa tanggungjawab itu tak ada dalam diri, inilah akan berlaku. Dari segi penampilan, nampak seperti orang baik. Hakikatnya, Tuhan saja tahu,” katanya.

Shiha turut berkongsi mengenai luahan rasanya di Instagram untuk memudahkan kerjanya menjejaki kenalannya itu.

“Saya letak di Instagram supaya kalau ada yang kenal dan nampak dia di mana-mana, boleh maklumkan kepada saya dengan segera,” katanya.

Disiarkan pada: August 10, 2018 @ 3:49pm
d