utama

Busuk 5 tahun!

Oleh Ibrahim Isa

Pasir Gudang: Hampir 20,000 penduduk sekitar Taman Johor Jaya dan Taman Molek di sini, berdepan masalah bau busuk dan tandas tersumbat sejak lebih lima tahun lalu.

Masalah dipercayai berlaku apabila enam pam dan beberapa peralatan di loji rawatan air kumbahan di Jalan Molek 3/19 dicuri pihak tidak bertanggungjawab sehingga ia tidak boleh berfungsi.

Penduduk Taman Redang Lakeview 1A, Khairuddin Kadir, 43, berkata, masalah berlarutan sejak lebih lima tahun lalu dan keadaan lebih buruk setiap kali musim hujan.

Menurutnya, Taman Redang Lakeview 1 mempunyai 132 rumah dan hampir 70 peratus daripadanya mengalami masalah air tandas naik dan tidak boleh mengalir.

“Kami tidak tahan tinggal di rumah yang sering dinaiki air najis, keadaan sering berlaku pada waktu puncak apabila ramai menggunakan air dan musim hujan.

“Ketika itu, air tidak dapat mengalir ke saluran disediakan menyebabkannya melimpah dalam rumah.

“Sudah beberapa kali kami membuat aduan kepada Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) termasuk Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) namun masalah ini belum selesai,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Penghuni Rumah Pangsa Taman Molek, Azizah Tambol, 65, berkata, penduduk terpaksa mengupah tukang paip untuk mengurangkan masalah dialami akibat kerosakan pam di loji itu.

“Masalah ini berpunca daripada loji kumbahan namun disebabkan terlalu lama tiada tindakan dibuat, penduduk terpaksa mengumpul wang dan memanggil tukang paip untuk baiki sistem saliran di blok ini.

“Walaupun ada perubahan, masalah tetap berlaku, setiap kali menggunakan tandas, bau dan air kotor keluar,” katanya.

Penduduk Taman Redang Lakeview 1A, Mohd Azman Mohd Yunos, 49, berkata, masalah sangat teruk pada Mac lalu ketika Johor berdepan musim hujan.

“Ketika itu memang teruk, bukan saja air, tetapi najis juga melimpah hingga dapur. Kami bukan saja terseksa kerana bau busuk, malah membuang masa kerana perlu membersihkan rumah setiap kali air melimpah,” katanya.

Disiarkan pada: August 11, 2018 @ 6:58am
d