utama

Elak gelaran gadis bola

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Muda, lincah dan segar. Inilah perkataan sesuai buat personaliti bernama Jasmin Suraya Chin, 28.

Melihatkan raut wajah dan namanya, ramai menyangka Jasmin gadis Melayu dan beragama Islam. Hakikatnya Jasmin yang berasal dari Kuching, Sarawak sebenarnya berketurunan Cina.

Jika dilihat pada kerjayanya sebagai pengacara bola sepak Liga Super Malaysia, Jasmin seharusnya berbangga kerana namanya sudah menjadi perhatian peminat.

Bagaimanapun, dia kini cuba mengelakkan gelaran gadis bola kerana ingin mengejar cita-citanya yang lebih besar iaitu bergelar pelakon popular tanah air dan seterusnya ke peringkat antarabangsa.

“Saya terima tawaran sebagai gadis bola kerana ia satu-satunya peluang yang datang waktu itu. Ia bermula apabila pengulas sukan terkenal, Abu Bakar Atan mempelawa saya mencuba bakat dalam bidang ini.

“Dia sebenarnya mengajak saya bekerja sepenuh masa sebagai pengulas sukan, tapi saya tak setuju kerana ia membataskan peluang untuk saya buat kerja lain.

“Saya lega kerana diberi masa yang fleksibel untuk buat kerja sebagai gadis bola untuk sesuatu perlawanan bola sepak yang disiarkan secara langsung di stesen TV Media Prima Berhad,” katanya.

Jasmin berkata, kerjaya ini sebenarnya satu batu loncatan buatnya mengejar impian yang lebih besar di dalam industri seni tempatan.

“Saya belajar dalam jurusan sains politik dan ekonomi di tiga universiti berbeza iaitu Sunway College, Afrika dan Australia. Ini memang pilihan saya

“Tapi, saya dah berlakon teater ketika remaja dan menari sejak zaman kanak-kanak. Ketika belajar di Australia pun saya aktif dalam teater. Malah saya minat dalam seni persembahan sejak kecil.

“Saya bersyukur kerana dikenali ramai. Sekarang masanya untuk saya kembali kepada cita-cita sebenar sejak dulu,” katanya.

Jasmin yang berkelulusan Sarjana Muda Sastera dalam Sains Politik dan Ekonomi dari Universiti Monash, Melbourne mengakui sering menyertai program realiti bagi mendapatkan pendedahan dalam bidang seni.

“Saya pernah sertai program Projek 3R dan masuk apa-apa saja uji bakat yang dibuat. Malah sampai satu peringkat saya sanggup tonton sesebuah drama hingga akhir dan tengok pada ending kredit siapa agensi pelakon kerana mahu hubungi mereka.

“Saya berasal dari Sarawak dan datang ke Kuala Lumpur tanpa mengenali sesiapa pada 2012. Kawan-kawan pula bukan dalam kalangan orang seni dan nak tak nak saya kenalah usaha sendiri.

“Waktu itu juga, penguasaan bahasa Malaysia saya agak teruk dan saya perlu berusaha keras memahirkan diri. Itu sebabnya saya kerap gagal dalam uji bakat,” katanya.

Gigih baiki kelemahan

Keazaman memperbaiki penguasaan bahasa Malaysia membuatkan Jasmin nekad memasuki Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) selama enam bulan.

“Tujuannya untuk mengukuh dan menajamkan penguasaan bahasa Malaysia saya dan ia berjaya. Sekarang boleh dikatakan saya dah menguasai 85 peratus bahasa Malaysia. Saya sudah tak gagap bercakap berbanding dulu.

“Keyakinan di depan kamera juga semakin baik ketika berlakon dan ini antara faktor saya semakin diterima dalam lakonan.

“Kalau ikutkan, saya sudah berlakon watak tambahan sebelum menjadi gadis bola, tapi nama saya tak menonjol. Apabila berlakon drama Hero Seorang Cinderella, barulah orang mula kenal saya.

“Syukur selepas itu banyak syarikat produksi yang buka mata ambil saya berlakon dengan mereka,” katanya.

Selain Hero Seorang Cinderella, pembabitan dalam drama The Fullhouse (Alamatnya Cinta), Salon, Pengantin 100 Hari, Jibril, Antologi Kopi serta filem Paskal, KL Gangster Underworld, Cinta Romusha dan bakal membintangi filem Namron & Pekin, akhir bulan ini.

“Selepas drama Hero Seorang Cinderella, saya ke London bagi mengikuti kelas lakonan selama empat bulan. Kemudian saya balik ke Malaysia dan aktif berlakon. Sekarang saya sudah berjaya memenuhi impian saya yang lama tersimpan.

“Yang kelakarnya, saya banyak berlakon watak tambahan dalam drama, tapi untuk filem membawakan watak utama seperti dalam Cinta Romusha,” katanya.

Lebih daripada itu, Jasmin menyimpan impian mencipta nama di peringkat antarabangsa.

“Harapnya ia dapat dikecapi. Saya ada keluarga di London dan bercadang mencari peluang di sana, tapi saya perlu menguasai bahasa Cina.

“Untuk itu, saya buat keputusan belajar bahasa Cina di Taiwan dan selepas itu akan berhijrah ke London.

“Apapun semua ini hanya akan dilakukan selepas saya berjaya mencapai apa yang diinginkan di negara sendiri. Ia mungkin akan berlaku selepas umur saya melepasi 30 tahun,” katanya.

Disiarkan pada: August 11, 2018 @ 5:35pm
d