utama

Gembira dalam gementar

Oleh Sudirman Mohd Tahir

TEKANAN lebih besar dirasai penyanyi hebat Dayang Nurfaizah apabila tiga lagu nyanyiannya iaitu Dia, Haram duet bersama Hael Husaini dan Layarlah Kembali tercalon dalam program Muzik Muzik 33.

Dayang yang pernah dijulang sebagai Juara Lagu pada Anugerah Juara Lagu ke-31 (AJL31) mengakui perkara itu di luar jangkaannya kerana pencalonan ditentukan oleh komposer setiap lagu.

“Semua ini tidak pernah dirancang. Terlebih dahulu, Hael selaku komposer lagu Dia mencalonkan lagu itu. Kemudian, kami muncul pula dengan lagu Haram dan dia mencalonkan lagu ini.

“Selepas itu, saya muncul dengan single Layarlah Kembali yang juga lagu tema filem Pulang. Komposer juga ingin mencalonkan lagu ini. Sebagai penyanyi, saya anggap ini satu tanggungjawab. Saya okey saja.

“Lagipun, sudah lama tidak melalui situasi begini. Sebelum ini pernah membabitkan dua lagu saja. Apabila sampai tiga lagu, saya gembira dan pada masa sama gementar,” katanya.

Melihatkan kedudukan ketiga-tiga lagu itu dalam carta, ramai meletakkan harapan supaya semua lagu berkenaan layak ke peringkat separuh akhir seterusnya beraksi di pentas AJL33.

Dikenali sebagai penyanyi yang sentiasa merendah diri, Dayang tidak mahu terlalu yakin sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada keputusan juri dan rezeki.

“Sejujurnya, saya tidak berasa semua lagu boleh ke separuh akhir atau pentas akhir. Cuma, kalau betul layak ke separuh akhir saya akan cuba lakukan sebaik mungkin.

“Namun, kalau tanya pendapat saya sekarang apa boleh dikatakan memang tidak terfikir langsung mengenai perkara ini. Lagi pula, masih terlalu awal untuk membuat jangkaan.

“Jadi, saya tidak mahu meletakkan sebarang harapan. Sebaik-baiknya kita tunggu dan lihat saja,” katanya.

Diusik mengenai lagu kegemarannya antara tiga lagu itu, Dayang yang juga pemenang Vokal Tebaik AJL selama tiga tahun berturut-turut hanya mampu tersenyum.

Bagaimanapun, Dayang menyifatkan semua lagu itu mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri.

“Lagu kegemaran? Susah nak cakap. Sebab, lagu Dia adalah lagu balada yang agresif. Haram pula lagu duet dan sentuhan yang muda untuk saya. Sementara lagu Layarlah Kembali lebih emosi. Semua ini baru untuk saya. Jadi, susah nak pilih,” katanya.

Sesuatu yang lebih menarik juga apabila program itu menampilkan pencalonan daripada penyanyi berpengalaman lain seperti Liza Hanim menerusi lagu Mimpi, Misha Omar (Sampai Bila) dan Siti Sarah (Semakin).

Malah, semua lagu dendangan penyanyi itu masih berada dalam carta sekali gus memberi bayangan pertandingan berkenaan bakal menyaksikan persaingan sengit.

Bagi Dayang, kebangkitan rakan seangkatannya itu menyemarakkan semula industri muzik tempatan yang sejak dua tahun kebelakangan ini didominasi penyanyi muda atau ‘Budak Baru Nak Up’ (BBNU).

“Apabila mereka muncul dengan lagu baharu dan semuanya tercalon dalam program ini, ia seperti mengembalikan semula zaman kegemilangan industri muzik kita. Dalam masa sama, lagu mereka juga diterima baik.

“Perlu diakui mereka penyanyi yang berkualiti. Tak dapat bayangkan bagaimana kehebatan pentas AJL itu sekiranya semua layak ke peringkat akhir. Dalam erti kata lain, ini baru pertandingan dan semua orang menantikan detik ini.

“Kalau betul ini terjadi, secara peribadi saya berasa gerun. Perasaan sama seperti dulu apabila bertanding dengan penyanyi hebat lain. Kalau perasan, tiga tahun sebelum ini saya antara penyanyi paling senior,” katanya.

Dayang mengakui, kemunculan lagu baru daripada Liza, Misha dan Sarah membuktikan aura mereka masih hebat dalam industri.

“Saya dengar lagu mereka. Masing-masing tunjukkan taring dan kekuatan sebenar untuk lagu yang dibawa. Disebabkan itu, lagu mereka diterima peminat.

“Paling penting, kemunculan mereka membuatkan industri muzik kita semakin kuat. Mereka ada bakat besar jadi rugi jika dipersia-siakan begitu saja. Apatah lagi, peminat sentiasa mengharapkan penyanyi lama seperti mereka muncul dengan karya baharu,” katanya.

Disiarkan pada: August 12, 2018 @ 6:05am
d