utama

Pengasuhku ibuku jua [METROTV]

Oleh Mahaizura Abd Malik

HUBUNGAN antara Khadijah Zainal, 68, dan Siti Nursyuhada Ahmad Termizi, 22, bukan sekadar pengasuh dan anak asuhan biasa namun ikatan mereka unik bagaikan ada pertalian darah.

Mereka berkongsi rasa gembira dan duka bersama, malah ke mana saja keluarga Khadijah pergi, Siti Nursyuhada yang diasuhnya sejak usia 40 hari hingga tiga tahun itu akan dibawa bersama.

Keakraban ‘dua beranak’ itu tidak terhenti setakat itu, malah apabila meningkat dewasa Khadijah yang dipanggil bujah (ibu) itu menjadi orang terpenting dalam hidup Siti Nursyuhada selain ibu kandungnya Siti Azha Yusoff, 46.

Atas dasar itu, Khadijah dan suaminya juga diberi penghormatan membuat segala keputusan berkaitan urusan jodoh Siti Nursyuhada apabila tiba masanya kelak.

Siti Nursyuhada berikata, selagi nyawa masih ada dia tetap menjaga hubungan baik dengan keluarga Khadijah yang sudah dianggap darah daging sendiri.

“Kalau saya merajuk dengan ibu, saya akan cari bujah. Bujah tempat saya bermanja dan berkongsi masalah.

“Hendak periksa pun saya akan minta bujah doakan, hari konvokesyen pun saya tidak lupa menjemputnya sampaikan ibu kata kalau hendak kahwin nanti, ibu beri penghormatan kepada bujah dan abah buat segala keputusan.

“Saya sayang bujah, abah dan semua abang-abang. Terima kasih bujah, saya hendak balas semua tak termampu,” katanya.

Bagi Khadijah, kehadiran Siti Nursyuhada dalam hidupnya dianggap hadiah tidak ternilai selepas hanya dikurniakan tiga anak lelaki.

“Saya anggap dia macam anak sendiri kerana kebetulan tiada anak perempuan, malah abang-abangnya juga sayang dia macam adik sendiri.

“Ke mana kami pergi bercuti, balik kampung ke pasti kami bawa tidak pernah tinggal dia.

“Oleh kerana terlampau sayangkannya saya juga membawa dia ketika kami sekeluarga berpindah dari Shah Alam ke Klang pada 1998 dan hanya diambil ibunya pada hujung minggu saja,” katanya.

Menurutnya, dia hanya berpeluang mengasuh Siti Nursyuhada selama tiga tahun saja selepas ibu gadis itu mengupah pembantu rumah, namun hubungan mereka masih baik sampai sekarang.

“Dulu rumah kami hanya di belakang rumahnya saja, apabila mendengar suaranya menangis, cepat-cepat saya datang memujuknya.

“Kini, kalau dia ada masalah saya terus datang ke rumahnya memberikan nasihat. Kalau saya sakit, dia dulu yang datang jenguk di hospital.

“Sama macam anak kandung, Siti Nursyuhada pun selalu ada dalam doa saya. Mudah-mudahan hubungan ini kekal sampai bila-bila,” katanya.

Berkongsi pengalaman sama, Rosnani Abd Rahman, 39, pula berkata, hubungan akrab dengan anak asuhannya Khairunnisa Kamarludin, 23, terjalin sejak mengasuh gadis itu pada usianya dua tahun ketika menetap di Taman Cenderawasih, Kuantan, Pahang.

“Masa kecil, Khairunnisa manja sangat. Kalau dia buat salah saya tegur macam adik saya. Kalau ke mana-mana saya tak lupa belikan apa-apa untuk dia.

“Ketika umurnya enam tahun, kami terpisah kerana saya berpindah ke Kuala Lipis, namun hubungan kami tidak terputus.

“Saya pasti akan cari dia apabila balik ke Kuantan dan sejak berpindah semula ke sini dua tahun lalu kami mudah bertemu dan melakukan aktiviti bersama terutama ketika dia bercuti semester,” katanya.

Sementara itu, Khairunnisa pula rasa terhutang budi dengan Rosnani yang dianggapnya kakak kerana pernah menyelamatkannya daripada sengatan serangga berbisa.

“Masa kena sengat, Kak Ros kendong saya terus ke klinik. Sampai sekarang saya masih ingat dan berterima kasih dengan Kak Ros kerana tidak tahu nasib saya macam mana.

“Kak Ros baik, dia rajin layan kerenah saya dan suka belikan saya macam-macam dulu.

“Keluarga kami pun sudah kenal lama, saya harap hubungan ini akan kekal,” katanya.

Disiarkan pada: August 12, 2018 @ 8:34am
d