utama

'Maaf terlanjur bicara'

Oleh Norhayati Nordin

Meskipun selama ini amat berhati-hati agar dirinya tidak terpalit kontroversi, aturan nasib tida siapa yang tahu.

Menganggap ia ujian tak diduga, pelakon Azrel Ismail, 34, enggan mengulas isu perbalahan dengan netizen, baru-baru ini.

Menurutnya, tidak perlu dipanjangkan lagi perkara itu kerana dia sudah memohon maaf dan menyedari keterlanjuran bicaranya.

“Saya mohon maaf. Ia berlaku tanpa disengajakan kerana saya dalam keadaan marah ketika itu.

“Terus terang, saya tiada niat langsung untuk mencetuskan sebarang kontroversi semata-mata untuk meraih publisiti mudah,” katanya.

Berbicara pula mengenai karier lakonan, kini dia rancak mempromosikan filem Pulang arahan Kabir Bhatia.

Melakonkan watak Omar, Azrel berkata dia baru kali pertama bekerja dengan Kabir. Malah, dia bersyukur rakan pelakon dalam filem itu termasuk Remy Ishak banyak membantunya.

“Saya sangat berterima kasih dengan Kabir dan Remy kerana banyak membantu. Ternyata Remy tidak lokek ilmu dan sedia kongsi pengalamannya yang sudah banyak berlakon filem.

“Peluang membintangi filem Pulang menjadi pembakar semangat buat saya untuk beraksi di layar perak lebih serius sekiranya terus mendapat kepercayaan pengarah dan penerbit.

“Bagaimanapun, saya ada satu lagi filem akan menyusul di pawagam iaitu Bikin Filem arahan Mohd Latiff Zami. Bagi saya ia karya yang unik,” katanya.

Melakonkan watak pelakon dalam karya itu, Azrel berkata Bikin Filem lebih menjurus kepada kisah belakang tabir pembikinan sesebuah filem. Beralih perihal peribadi, Azrel yang masih solo mengakui setakat ini belum terfikir untuk mendirikan rumah tangga.

“Bukan saya tidak mahu berkahwin dan terus hidup membujang. Namun, saya mahu kumpul aset dan mengukuhkan kewangan telebih dahulu.

“Hidup berumah tangga zaman sekarang sangat mencabar. Jadi, sebagai lelaki yang akan menjadi ketua keluarga saya kena stabil dalam segala aspek terutama kewangan.

“Saya sedang berusaha keras untuk membeli rumah dan perlu rajin mencari rezeki,” katanya.

Ditanya mengenai kriteria wanita pilihannya, Azrel berkata dia seorang yang bersederhana. Cukuplah wanita itu berjiwa penyayang, menghormati orang tua dan memahami kariernya sebagai pelakon.

Azrel berkata dia bersyukur ibu bapa dan keluarganya memahami, malah tiada yang mendesaknya agar segera menamatkan zaman bujang.

Teruja jadi hero antagonis

Hampir lapan tahun aktif berlakon, Azrel menegaskan bukan mudah untuknya berada pada tahap sekarang. Malah dia bersyukur sering menerima tawaran sebagai hero drama.

Dia juga jarang dikaitkan dengan kisah sensasi. Kalau ada pun, hanya perihal cinta lokasi dengan pelakon Ruhainies beberapa tahun lalu.

Menganggap kisah ‘cinta lokasi’ itu permulaan langkahnya, Azrel berkata kini dia tiada masa untuk terjebak dengan senario sama.

“Fokus saya hanyalah melunaskan komitmen sebagai pelakon apatah lagi jadual saya padat hingga hujung tahun. Sampai saat ini, saya belum berkesempatan bercuti.

“Memang terlalu sibuk. Sekarang saya menjalani penggambaran drama Isteri Dalam Sangkar sebanyak 30 episod untuk Hypp TV.

“Lokasi penggambaran pula lebih banyak di Cameron Highlands, jadi nampaknya masa saya kurang di Kuala Lumpur buat seketika,” kata Azrel.

Bergandingan dengan pelakon Nina Iskandar, Azrel berkata dia teruja kerana diberikan watak hero yang antagonis.

“Saya bawa watak lelaki yang dipaksa berkahwin dan tidak pernah mencintai isterinya. Saya akan bertindak sebagai suami yang kejam.

“Saya sedar watak ini pasti dikecam teruk penonton dan akan cuba bersikap terbuka. Andai orang tak suka dan benci, maknanya watak lakonan saya menjadi.

“Saya akan berhati-hati dalam membalas komen penonton nanti. Saya tidak mahu pisang berbuah dua kali,” katanya.

Selain itu, Azrel juga muncul dengan drama Cik Sempurna di TV3 di samping pelakon Emma Meembong, Zoey Rahman, Dayang Areeda dan Aman Graseka.

Disiarkan pada: August 14, 2018 @ 9:14am
d