utama

Redah ke Mundok

Oleh Sharifah Mahsinah Abdullah

Rantau Panjang: Penyusutan nilai mata wang ringgit berbanding nilai baht Thai tidak pernah menghalang rakyat negara ini terutama dari Kelantan membeli-belah di Mundok, Thailand yang terletak bertentangan dengan Kampung Bukit Lata, di sini.

Ramai pengunjung yang ditemui mendakwa pekan Mundok masih menjadi pilihan mereka dan rakyat Malaysia yang lain membeli-belah walaupun nilai mata wang ringgit rendah berbanding baht Thai.

Pengunjung, Norhayati Mat Hassan berkata, dia memilih berbelanja di pekan Mundok kerana harga barangan yang jauh lebih murah berbanding barangan dijual peniaga tempatan.

“Walaupun nilai ringgit rendah berbanding Thailand, saya tidak kisah selagi harga barangan yang saya beli jauh lebih murah berbanding yang dijual peniaga di Rantau Panjang.

“Sebagai contoh, satu set cadar bersaiz King dijual dengan harga RM40 berbanding dengan RM50 dijual peniaga tempatan,” kata ibu kepada empat anak berusia 41 tahun itu.

Seorang pengunjung lagi, Mohamad Faiz Azman berkata, dia masih mengunjungi Mundok kerana pilihan barangan yang dijual peniaga di pekan itu banyak berbanding yang dijual di negara kita terutama di Kelantan.

“Selain harganya murah, saya juga tertarik membeli-belah di pekan itu kerana corak barangan yang dijual berbeza dengan barang yang dijual di negara kita.

“Saya sanggup ke Mundok sekurang-kurangnya sebulan sekali kerana selain untuk kegunaan sendiri, saya juga menjual barangan yang saya beli kepada kawan saya,” kata Faiz yang berasal dari Panji, dekat Kota Bharu.

Tinjauan mendapati walaupun pihak keselamatan negara ini terutama pihak tentera masih mengawal kawasan sempadan sepanjang Sungai Golok yang memisahkan kampung itu dengan Mundok, rakyat Malaysia masih menyeberangi sungai ke pekan itu.

Mereka menyeberang ke pekan itu menggunakan bot penumpang yang berulang-alik melalui Sungai Golok.

Terdapat lebih 10 bot penumpang beroperasi di sungai itu dan mereka mengenakan tambang RM2 seorang untuk satu perjalanan.

Tinjauan juga mendapati rakyat Malaysia paling ramai mengunjungi Mundok pada hari minggu terutama pada Jumaat dan mereka datang dari beberapa daerah termasuk Kota Bharu dan juga dari luar Kelantan.

Disiarkan pada: August 14, 2018 @ 9:33am
d