utama

Bangga nama Merdeka

Oleh Shahrinnahar Latib

SUATU ketika dulu, Mohd Merdeka Ismail amat malu dengan namanya sendiri yang dianggap pelik, malah sering kali diejek oleh rakan dan masyarakat sejak kecil hingga kini.

Namun, siapa sangka dengan keunikan namanya, dia berpeluang bertemu Yang di-Pertuan Agong, pemimpin negara dan golongan kehormat secara dekat.

Kini, dia mampu berbangga kerana nama Mohd Merdeka membolehkan dia dan keluarga lebih dikenali terutama menjelang hari kemerdekaan negara.

Dilahirkan pada 31 Ogos 1957, Mohd Merdeka yang kini berusia 61 tahun berkata, namanya diberi seorang bidan kampung memandangkan dia dilahirkan pada 31 Ogos.

“Terus terang, dulu masa kecil saya malu sangat dengan nama ini kerana sering diejek, tetapi lama kelamaan nama ini membuatkan saya berbangga kerana dapat menyambut hari lahir sama dengan sambutan kemerdekaan negara, tidak semua orang dapat merasai detik ini.

“Lebih mengharukan kerana nama ini (Mohd Merdeka) saya berpeluang menjejakkan kaki ke Istana Negara apabila dijemput Yang di-Pertuan Agong pada 2007 melalui Himpunan Anak-Anak Merdeka di seluruh negara.

“Jemputan itu umpama mimpi bagi saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Dua Puluh, Penaga, di sini, semalam.

Mohd Merdeka berkata, ketika menghadiri himpunan itu, dia tidak lagi tersinggung apabila terdapat individu yang sering menyebut namanya dengan nada seperti mengejek.

Ini kerana, katanya, ramai yang tidak tahu nama itu menjadikannya seorang yang terkenal umpama selebriti.

“Selain nama, tarikh lahir saya juga senang diingati. Dengan nama ini juga membuatkan semangat cintakan negara menjadi lebih utuh dan berharap keharmonian yang dicapai dapat dirasai sampai bila-bila,” katanya.

Mohd Merdeka berkata, keunikan namanya itu membuatkannya hampir-hampir dicampak ke dalam laut ketika bekerja dengan sebuah syarikat perkapalan di Terengganu suatu ketika dahulu.

“Memang lucu apabila diingati semula, ketika itu rakan merancang mencampak saya ke dalam laut sebagai kejutan hari lahir yang jatuh pada hari kemerdekaan.

“Mujur rancangan mereka itu diketahui lebih awal kerana ada seseorang membocorkan rahsia dan saya bernasib baik,” katanya.

Menurutnya, rakan-rakannya itu merancang sedemikian kerana teruja dengan namanya dan mahu meraikan dalam keadaan luar biasa tetapi malangnya tidak berhasil.

Sementara itu, anak tunggal Mohd Merdeka, Izzatunnabila, 25, berkata dia bertuah kerana dapat menumpang populariti keunikan nama bapanya itu.

“Sama seperti ayah, saya dulu pun sedih dan malu apabila sering diejek oleh kawan-kawan di sekolah, tetapi perasaan itu berubah apabila seluruh sekolah mengenali ayah yang kerap keluar di media massa apabila tiba hari kemerdekaan negara.

“Mereka juga tahu yang ayah dijemput Yang di-Pertuan Agong. Di negara ini bukan ayah sahaja memiliki nama itu tetapi ia turut dimiliki individu lain termasuk dari kaum Cina dan India,” katanya.

Izzatunnabila berkata, melalui keunikan nama bapanya itu secara tidak langsung menyebabkan semua yang sebelum itu tidak mengenalinya kini sering bertanya khabar seolah-olah kenal antara satu sama lain.

Disiarkan pada: August 15, 2018 @ 5:55am
d