utama

Wani tidak kecil hati

Oleh Sudirman Mohd Tahir

SINGLE Lepaskan dan Alhamdulillah duet bersama rapper, Juzzthin berjaya memperkenalkan nama Wani meskipun sebelumnya pernah melancarkan lagu solo, I Cinta Je.

Perkara itu membuatkan Wani, 21, atau nama sebenarnya Nur Syazwani Selamat mengambil keputusan menghasilkan single baru iaitu Pendusta Cinta yang turut menampilkan rapper Waris.

Biarpun ada segelintir pihak mendakwa Wani cuba menumpang populariti rakan duet, dia tidak terasa hati bahkan menganggap strategi itu membawa kebaikan kepadanya kerjaya seninya.

“Pada mulanya saya ingat akan tampil dengan single solo tetapi pihak syarikat rakaman ingin warna dalam lagu ini dengan menampilkan rapper.

“Sejujurnya, saya perlu menumpang nama dan populariti mereka supaya lebih dikenali. Apa saya perasan, setiap kali berduet ia memberikan impak yang bagus dan mendapat maklum balas positif.

“Jadi, tidak salah jika saya teruskan cara ini dan berkolaborasi dengan mana-mana penyanyi. Mungkin juga lagu solo saya sebelum ini kurang menarik membuatkan sambutan hambar,” katanya.

Berkongsi mengenai lagu Pendusta Cinta, Wani berkata ini kali pertama dia bekerjasama dengan Waris dan mengakui teruja bergandingan dengan penyanyi lagu Gadis Jolobu itu.

“Sebelum ini orang selalu tanya kenapa kerap bekerjasama dengan Juzzthin. Malah, ramai juga yang inginkan saya berkolaborasi dengan rapper lain.

“Tak sangka pula komposer single ini iaitu DJ Fuzz dan Hez Hazmi serta syarikat rakaman memilih Waris. Pertama kali dimaklumkan, saya sangat teruja. Malah, sepanjang proses rakaman ia berjalan dengan lancar.

“Alhamdulillah, apabila lagu ini dilancarkan ia mendapat maklum balas positif. Sebagai penyanyi, saya lega biarpun terdapat kritikan membabitkan tarian dalam video muzik. Bagi saya, ini adalah lumrah. Apa yang penting peminat suka lagu ini,” katanya.

Menariknya, menerusi lagu itu Wani turut mengembangkan bakat sebagai komposer dan penulis lirik bersama.

“Ini percubaan pertama saya berjinak-jinak dalam bidang penciptaan. Kalau tidak sekarang, bila lagi saya mahu mengetengahkan bakat ini?

“Saya berterima kasih kepada komposer kerana banyak membantu. Insya-Allah, selepas ini saya merancang menghasilkan lagu penuh pula,” katanya yang memiliki dua koleksi lagu sendiri.

Keliru nama Wani

Dalam pada cuba menempatkan diri sebaris penyanyi muda lain, Wani mengakui berdepan situasi ramai sering keliru membabitkan dirinya dengan penyanyi Wany Hasrita dan Wani Kayrie.

Banyak pihak mencadangkan dia menukar nama supaya mudah diingati.

“Betul, ini bukan perkara baru buat saya. Saya selalu dengar orang cakap Wani yang mana satu dan ramai keliru. Hingga ada yang menggelar saya Wani GGV atau Wani Lepaskan.

“Saya terfikir juga nak tambah nama belakang menjadi Wani Selamat. Namun, buat masa ini pihak syarikat belum bersetuju,” katanya.

Bercerita lanjut kerjaya seninya, Wani berkata dia masih berulang-alik dari Batu Pahat ke Kuala Lumpur.

“Mak bukannya tidak benarkan saya tinggal di Kuala Lumpur tetapi saya membantu menguruskan perniagaan restoran keluarga di kampung. Disebabkan itu, saya perlu ada di sana.

“Apatah lagi sekarang perniagaan sudah berkembang daripada warung ke restoran. Sudah tentu ia memerlukan pemantauan yang kerap. Sedikit sebanyak, khidmat saya diperlukan bagi melancarkan operasi perniagaan.

“Cuma, kalau kebetulan saya ada persembahan atau program di Kuala Lumpur, saya menumpang rumah Wany Hasrita. Buat masa sekarang, saya okey lagi berulang-alik. Ia tidak mengganggu pun asal sahaja dirancang dengan baik,” katanya.

Disiarkan pada: August 15, 2018 @ 6:02am
d