utama

Pengasuh nafi patahkan tangan bayi [METROTV]

Oleh Muhammad Apendy Issahak

PENGASUH mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini atas tuduhan cuai hingga menyebabkan kecederaan terhadap bayi lelaki berusia tiga bulan ketika dalam jagaannya, minggu lalu.

Tertuduh Ros Azlina Mohd Ismail, 46, didakwa bertindak secara cuai sehingga menyebabkan kecederaan fizikal kepada Muhammad Zaheen Affan Mohamad Zulkarnain di sebuah rumah di Persiaran Iskandar Perdana, Seksyen Dua, Seri Iskandar, Ipoh jam 11.30 pagi pada 8 Ogos lalu.

Pengasuh yang mempunyai sembilan anak itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Naidatul Athirah Azman di hadapan Hakim Datuk Julie Lack, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh sebelum Ros Azlina merayu jaminan dikurangkan kerana tidak bekerja dan mempunyai banyak tanggungan.

Julie Lack kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan menasihatkannya agar melantik peguam serta menetapkan 18 September ini bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Media sebelum ini melaporkan dalam kejadian 8 Ogos lalu, Muhammad Zaheen Affan, patah tangan kanan dipercayai didera ketika dalam jagaan pengasuhnya itu.

Bayi berkenaan dihantar ke rumah pengasuh oleh ibu dan datuknya jam 9 pagi sebelum pengasuh terbabit menghubungi bapa mangsa memaklumkan bayi itu tidak berhenti menangis.

Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Changkat Melintang oleh bapanya sebelum dirujuk di Hospital Seri Manjung dan pemeriksaan doktor mendapati tangan kanan mangsa dipercayai dipulas hingga patah.

Susulan itu bapa mangsa berusia 28 tahun membuat laporan polis jam 11.04 pagi 9 Ogos lalu sebelum pengasuh berkenaan ditahan pada hari sama bagi membantu siasatan.

Berita berkaitan

Dakwa pengasuh pagi ini

[UPDATE] Bayi patah tangan stabil

Kesian bayi patah tangan

Disiarkan pada: August 15, 2018 @ 10:32am
d