utama

Panas bukan pasal planet

Oleh Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Fenomena cuaca panas melanda seluruh negara ketika ini tidak mempunyai kaitan dengan kedudukan jajaran planet di dalam sistem solar yang kononnya semakin hampir antara satu sama lain.

Pakar astronomi Shahrin Ahmad berkata, sebelum ini maklumat yang tular di media sosial mendakwa fenomena cuaca panas di negara ini sekarang disebabkan perubahan kedudukan antara planet.

“Cuaca panas tidak ada kaitan dengan kedudukan planet. Ia adalah dua situasi yang sangat berbeza dan tidak berkaitan.

“Senario berlaku amat berbeza, yang pertama membabitkan pergerakan planet manakala cuaca pula dipengaruhi oleh perubahan tiupan arah angin.

“Mungkin bagi yang kurang mengetahui, mereka mengandaikan ini satu situasi yang saling berhubung kait sedangkan fakta sebenar adalah berbeza,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, sebarang perubahan di langit seperti berlakunya pengumpulan planet seperti didakwa punca menyebabkan fenomena cuaca panas adalah tidak betul.

Katanya, fenomena cuaca panas yang berlaku sekarang adalah hasil tiupan arah angin termasuk pengaruh perubahan monsun.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) menerusi satu kenyataan menjelaskan bahawa cuaca panas yang berlaku adalah disebabkan oleh fasa Monsun Barat Daya yang mendominasi keadaan cuaca negara.

Laman web Met Malaysia menunjukkan bahawa suhu maksimum yang dicatatkan adalah 35 darjah celsius (C) bagi kawasan kering dan panas manakala suhu minimum adalah 24 C untuk kawasan tanah tinggi.

Kenyataan itu menjelaskan bahawa keadaan panas berkenaan akan berlarutan hingga pertengahan September dan sepanjang tempoh berkenaan keadaan cuaca adalah panas serta kering.

“Menerusi pemantauan anomali purata suhu permukaan laut (SST) terkini bagi April hingga Jun lalu adalah 0.1 C berbanding -0.4 C pada bulan sebelumnya.

“Selain itu, kejadian hujan lebat, ribut petir serta angin kencang juga boleh berlaku di kawasan perairan pantai barat Semenanjung Malaysia pada awal pagi berikutan pembentukan garis badai yang dikenali sebagai Sumatras.

“Pada Ogos, kebanyakan tempat di Semenanjung Malaysia dijangka menerima hujan pada paras normal dengan jumlah antara 150 milimeter (mm) hingga 250 mm kecuali beberapa tempat di Perak (Perak Tengah hingga Selatan), Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang dijangka menerima hujan sedikit di bawah paras normal,” katanya.

Bagaimanapun, keadaan panas kering akan berubah pada Oktober ketika fasa peralihan dan sepanjang tempoh berkenaan, keadaan cuaca lembap dengan hujan serta ribut petir dan angin kencang.

Disiarkan pada: August 16, 2018 @ 9:51am
d