utama

[UPDATE] 'Patutlah call, tak jawab'

Oleh Mohd Sah Muda

“IBU menghidap angin ahmar sejak 12 tahun lalu, manakala bapa tiri sakit semput sejak tahun lalu, saya tidak menyangka kedua-duanya meninggal bersama-sama di rumah," kata Zainuddin Mohamad iaitu anak kepada Nilam Ibrahim, 70, yang ditemui meninggal dunia di rumah mereka di i FELDA Tenggaroh 3, Mersing, malam tadi.

Zainuddin, 45, berkata, sebelum ini ibu dan bapa tirinya, A Wahab Yusof, 72, tinggal bersama kakaknya, Zaimah Mohamad, 50, di Mersing Kanan, sejak kira-kira enam bulan lalu.

Bagaimanapun katanya, bulan lalu, ibu dan bapa tirinya pulang semula di FELDA Tenggaroh 3, untuk menjaga kebun dan ketika ini adalah musim buah.

"Kami sekeluarga reda apa yang menimpa ibu dan bapa tiri kami. Kami tidak menyangka kedua-duanya pergi bersama buat selama-lamanya.

"Kedua-dua ibu dan bapa tiri memang tinggal di rumah kakak. Tetapi mereka pulang semula ke FELDA Tenggaroh 3 dan belum sampai sebulan tinggal berdua," katanya.

Zainuddin berkata, kali terakhir dia bertemu dengan ibu bapanya itu kira-kira sepuluh hari lalu, selain sering menghubungi mereka untuk bertanya khabar.

"Biasanya selepas banyak kali saya menghubungi, baru panggilan dijawab. Banyak kali 'missed call'. Beberapa hari lalu saya juga ada menghubunginya tetapi tidak dijawab. Bagaimanapun saya tidak mengesyaki apa-apa kerana sudah biasa ‘missed call’," katanya ketika ditemui NSTP, di di perkarangan Unit Forensik Hospital Mersing, Mersing, hari ini.

Zainuddin berkata, beliau mempunyai empat beradik kandung, manakala hasil perkahwinan ibu dengan bapa tirinya, mereka mempunyai dua anak.

Mayat suami isteri warga emas itu ditemui dalam rumah di FELDA Tenggaroh 3 ketika polis membuat pemeriksaan selepas polis menerima panggilan telefon daripada orang awam kira-kira 11.05 malam yang memaklumkan terdapat bau busuk dari rumah di Jalan Kenari di FELDA berkenaan.

Setakat ini Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing berkata, siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian itu.

Berita berkaitan:

Misteri bau busuk terungkai

Disiarkan pada: August 16, 2018 @ 2:41pm
d