utama

[UPDATE] Pemandu bas Rapid KL masih hidup lah

Oleh Nor Azizah Mokhtar

PEMANDU bas Rapid KL yang terbabit dalam insiden rempuhan tujuh kereta di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, malam tadi, tidak meninggal dunia dan masih dirawat di hospital.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, mengesahkan perkara itu sekali gus menafikan kenyataan tular di media sosial mengatakan pemandu bas berusia 32 tahun itu sudah meninggal dunia.

"Pemandu itu tidak meninggal dunia dan akan keluar daripada hospital pada 3 petang ini.

"Dia mengalami kecederaan di kepala dipercayai dipukul semasa ditangkap oleh orang awam," katanya dalam satu kenyataan ringkas, hari ini.

Katanya lagi, polis akan menjalankan siasatan lain sekiranya pemandu bas terbabit membuat laporan polis bahawa dia dipukul.

Selain itu, beliau turut memaklumkan tiada penumpang berada dalam bas Rapid KL berkenaan dalam kejadian yang berlaku 8.30 malam itu.

Hari ini, tular di Facebook kononnya pemandu bas Rapid KL terbabit sudah meninggal dunia.

"Berita yang diterima. Subjek (pemandu bas) telah meninggal dunia. Berita sebentar tadi diterima dari ‘group’. Al Fatihah," mesej tular terbabit.

Berita berkaitan

Apa masalah pemandu bas ni? [METROTV]

[UPDATE] RapidKL sedia bayar ganti rugi

[UPDATE] Pemandu bas RapidKL panik dikejar?

Disiarkan pada: August 17, 2018 @ 2:24pm
d