utama

Tragedi berhenti di lorong kecemasan

Oleh Rosli Ilham

DUA beradik dan seorang wanita maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 304 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), dekat susur keluar Kijal dekat Chukai, hari ini.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari, mangsa adalah bayi lelaki berusia empat bulan dan kakaknya, 3, yang menaiki kereta Proton Wira, namun identiti mereka belum diperolehi.

Manakala wanita yang maut iaitu penumpang kereta Perodua Axia dikenali sebagai Hasnah Ali, 59.

Jurucakap bomba berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Wira dipandu bapa dua beradik terbabit dari arah Kemaman ke Kuala Terengganu dikatakan berhenti di lorong kecemasan.

Katanya, dalam masa sama, Perodua Axia dipandu anak perempuan Hasnah yang menghala ke arah sama dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh bahagian belakang Proton Wira terbabit.

“Rempuhan kuat menyebabkan dua beradik itu termasuk Hasnah tercampak keluar daripada kenderaan masing-masing.

“Ibu bapa dua beradik terbabit dilaporkan parah dan dikejarkan ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut, manakala dua anak Hasnah dan suaminya dilaporkan hanya mengalami cedera ringan,” katanya.

Mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan kejadian, berkata kes masih dalam siasatan lanjut.

Disiarkan pada: August 17, 2018 @ 5:41pm
d